Maybank IB unjur OPR kekal pada paras 3% hingga akhir tahun selepas ambil kira kedudukan inflasi, pertumbuhan negara | DagangNews Skip to main content

Maybank IB unjur OPR kekal pada paras 3% hingga akhir tahun selepas ambil kira kedudukan inflasi, pertumbuhan negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangakan kadar dasar semalaman (OPR kekal pada paras 3% dan tiada perubahan hingga akhir tahun selepas mengambil kira kedudukan inflasi selain prospek pertumbuhan ekonomi negara.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan ekonomi negara pada suku kedua 2023 dipengaruhi oleh permintaan luar yang lebih perlahan dan penurunan dalam pengeluaran komoditi.

 

Bagaimanapun katanya, pertumbuhan akan terus dipacu oleh perbelanjaan domestik yang berdaya tahan di tengah-tengah persekitaran luaran yang mencabar manakala guna tenaga serta pertumbuhan gaji yang berterusan, terutamanya dalam sektor berorientasikan domestik, kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

 

Selain itu, inflasi utama dan teras terus mereda dalam keadaan kos yang lebih sederhana.

 

"Aliran ini dijangka berterusan pada separuh kedua tahun ini dan sebahagiannya mencerminkan asas yang lebih tinggi daripada separuh kedua 2022 serta momentum pelonggaran kenaikan harga yang berterusan.

 

BACA JUGA: Tiada kenaikan, Bank Negara Malaysia kekal OPR pada kadar 3%

 

"Selepas mengambil kira semua faktor, OPR dijangka kekal pada paras 3% untuk sepanjang tahun ni. 

 

"Bagamaimanapun, akan ada satu lagi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada 1 dan 2 November ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan itu juga membayangkan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) selepas mengambil kira faktor kadar faedah sebenar dan selain menghapuskan "risiko ketidakseimbangan kewangan masa hadapan".

 

Selain itu, kemajuan dalam projek infrastruktur serta pelaksanaan inisiatif dan projek pemangkin di bawah pelan induk nasional yang diumumkan baru-baru ini (cth. Ekonomi Madani; Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NTER); Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030 (NIMP 2030)) akan menyokong aktiviti pelaburan. - DagangNews.com