MEDAC, PNS komited bangunkan francais Sabah | DagangNews Skip to main content

MEDAC, PNS komited bangunkan francais Sabah

Francais

KUALA LUMPUR 20 Julai - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bersama Perbadanan Nasional Berhad (PNS) komited untuk membantu membangunkan bidang keusahawanan di Sabah khususnya mereka yang terlibat sebagai francais. 

Timbalan Menteri MEDAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya sentiasa menyokong PNS melalui program yang dijalankan dalam usaha memperkasakan bidang francais yang mampu memberi sumbangan kepada kerajaan.

“MEDAC sentiasa sokong PNS yang bernaung di bawah kementerian melalui program yang dijalankan. Pemerkasaan bidang francais ini dilihat mampu membantu kerajaan sebagai sektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Harapan saya agar industri francais terus berkembang dan berperanan sebagai sektor utama yang memberi impak penting. Bukan sahaja dari segi pembangunan keusahawanan dan peluang kerja, malah memberi nilai tambah kepada pilihan kerjaya yang lebih cerah di masa hadapan,” katanya selepas membuat lawatan ke Pejabat PNS Koridor Sabah, Kota Kinabalu semalam. 

Turut hadir, Pengerusi PNS, Datuk Zakaria Mohd. Edris dan Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Mohd. Hilaluddin Abd Shukor.

Francais
MAS ERMIEYATI SAMSUDIN bersama Zakaria Mohd. Edris (tujuh dari kanan) dan Mohd. Hilaluddin Abd Shukor (enam dari kiri) ketika sesi lawatan dan ramah mesra bersama usahawan francais Sabah.


PNS merupakan syarikat pegangan pelaburan yang dimiliki Kementerian Kewangan Diperbadankan dengan matlamat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia.

Sesi lawatan itu juga memberi peluang kepada para usahawan tempatan untuk mengetahui dengan lebih mendalam berkaitan peranan, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan PNS.

Sejak 2017, PNS telah membiayai lebih daripada RM3 juta kepada usahawan Sabah yang berpotensi untuk dikembangkan ke arah francais. 

Lawatan itu juga merupakan langkah pertama PNS bagi tahun 2020 dalam usaha mempromosikan francais ke beberapa negeri termasuk Sabah pada Ogos tahun ini.

Francais
MAS ERMIEYATI SAMSUDIN menerima cenderamata minyak wangi Abdul Samad Al-Qurashi (AS) daripada Zakaria Mohd. Edris disaksikan Mohd. Hilaluddin Abd Shukor (kiri) di Kota Kinabalu, semalam.


Usaha itu bagi meneroka dan mengenal pasti potensi usahawan setempat untuk diangkat sebagai sebuah perniagaan francais yang berjaya.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati turut memberi pujian terhadap langkah usahawan yang meneroka dan melibatkan diri dalam perniagaan baharu secara digital.

“Usahawan ini dilihat berjaya mewujudkan saluran-saluran pasaran baharu dan juga mengeluarkan produk-produk yang baharu ekoran tekanan dihadapi semasa PKP diumumkan pada 18 Mac lalu,” jelasnya lagi. - DagangNews.com