MONUMEN Islam dan bangunan bersejarah merupakan sebahagian daripada keunikan negeri Selangor yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Struktur dan masjid telah dilindungi selama beberapa generasi dengan ciri seni bina yang indah, sejak lebih dari satu abad.
Tourism Selangor berkongsi lima monumen Islam terpilih di negeri itu sepanjang 10 hari terakhir Ramadan dan mengenang kembali sejarah dan simbolik setiap monumen di Selangor.
MASJID SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
Terletak di tengah-tengah Shah Alam, merupakan masjid terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara.
Masjid ini umumnya dikenali sebagai Masjid Biru kerana seni binanya yang unik, yang mempunyai kubah biru dan perak yang megah dan dalaman yang cantik yang menggabungkan unsur-unsur Timur Tengah dan Melayu. Masjid ini boleh memuatkan 16,000 orang sekali gus dan menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjungnya.
MASJID RAJA HAJI FI SABILILLAH
Masjid Raja Haji Fi Sabilillah ialah masjid pertama di Malaysia yang mendapat Anugerah Platinum 'Green Building Index' bagi reka bentuknya yang mesra alam. Untuk menampung lebih 8,300 jemaah, masjid ini menggunakan lampu LED yang cekap tenaga, pengudaraan udara semula jadi, panel solar dan sistem pengumpulan air hujan. Lif untuk warga emas dan orang kelainan upaya, serta taman permainan untuk kanak-kanak, direka bentuk dengan mengambil kira nilai-nilai inklusiviti dalam pembinaannya.
MASJID DIRAJA SULTAN ALA’EDDIN
Masjid Diraja Sultan Ala'eddin, lebih dikenali sebagai Masjid Bandar, dibina pada awal 1900-an dan telah menjadi monumen bersejarah Selangor, terletak kira-kira 200 meter dari Istana Bandar. Masjid yang berusia hampir satu abad itu dicipta dengan gabungan budaya India-Muslim dan Timur Tengah, dengan ukiran kayu yang terperinci di muka depan dan inskripsi al-Quran di dalamnya.
MASJID RAJA LUMU
Masjid Raja Lumu merupakan sebuah lagi monumen Kuala Selangor yang dibina di atas tapak bekas Masjid Lama Kuala Selangor. Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mendedikasikan masjid ini sebagai masjid diraja Selangor yang kesembilan. Ia diiktiraf dengan seni bina moden yang cantik, kubah tembaga, gerbang besar, dan tingkap kaca berwarna dan terletak di kaki Bukit Melawati. Masjid ini dinamakan sempena nama Sultan Selangor yang pertama iaitu Sultan Salehuddin Shah.
KOMPLEKS SENI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR
Sejak 1987, Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor telah berkhidmat sebagai pusat pameran bagi Yayasan Restu, dengan matlamat untuk menghidupkan semula, memelihara dan mempromosikan seni dan budaya Islam. Ia merupakan nadi kepada warisan seni Islam Selangor, dengan pameran kaligrafi Islam, seni bina, reka bentuk dalaman, lukisan dan manuskrip al-Quran. Terdapat sembilan galeri, dewan kuliah, pusat kanak-kanak, dan pelbagai bilik aktiviti di kompleks ini. Antara pameran yang terulung di sini ialah manuskrip al-Quran yang asli bernilai RM20 juta.
Bangunan bersejarah adalah salah satu kebanggaan Malaysia yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan nilai di negara ini.
Monumen dan masjid Islam di Selangor direka secara unik dengan meletakkan sorotan utama pada inklusiviti yang boleh diselami tanpa mengira agama dan bangsa.
Untuk lebih banyak inspirasi pelancongan di Selangor, layari laman web rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel, atau ikuti akaun media sosial rasmi Tourism Selangor; saluran Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan YouTube Pelancongan Selangor. #PusingSelangorDulu - DagangNews.com