Memahami pengaruh monsun dalam pelayaran silam | DagangNews Skip to main content

Memahami pengaruh monsun dalam pelayaran silam

Sebuah kapal layar milik UMT yang pernah digunakan dalam pertandingan Monsoon Cup belayar melepasi jambatan angkat Negeri Terengganu.
Oleh Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari

TIUPAN angin merupakan faktor yang penting di dalam mencorakkan aktiviti pelayaran di rantau Asia Tenggara ketika berlangsungnya zaman kegemilangan laluan perdagangan maritim lampau khususnya di era Kesultanan Melayu Melaka dan dinasti-dinasti akhir China.

 

Kebiasaannya tiupan angin di rantau Asia Tenggara adalah dipengaruhi oleh dua monsun yang utama iaitu Monsun Timur Laut dan Barat Daya.

 

Secara asasnya angin monsun akan terbentuk dan bergerak dari kawasan sejuk dan bertekanan tinggi menuju ke kawasan panas dan  bertekanan rendah.

 

Perkataan monsun itu sendiri berasal daripada bahasa Arab iaitu musim yang membawa maksud pembalikan angin bermusim atau dalam bahasa yang lebih mudah ditakrifkan sebagai sistem angin yang dicirikan oleh pembalikan arah angin yang berlaku secara bermusim.


 

Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari
              Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari

 

 

Namun, para pengkaji iklim moden menggunakan istilah monsun untuk menerangkan perubahan bermusim yang melibatkan peredaran atmosfera dan taburan hujan yang mempunyai kaitan langsung dengan ayunan latitud tahunan zon penumpuan antara tropika atau “ITCZ”.

 

Ia diistilahkan sebagai zon penumpuan kerana berlakunya pertembungan di antara angin perdagangan timur laut dan angin perdagangan tenggara. Zon penumpuan ini akan berubah-berubah di antara latitud 5 darjah utara dan 5 darjah selatan mengikut perubahan musim,

 

Persoalannya, bagaimanakah tiupan angin monsun mempunyai pengaruh yang sangat besar di dalam aktiviti perdagangan lampau?

 

Secara umumnya, aktiviti perdagangan lampau bergantung sepenuhnya kepada arah dan kekuatan tiupan angin untuk membolehkan kapal-kapal dagang berlayar membawa hasil dagangan dari timur ke barat dan sebaliknya. Oleh itu, tidak dapat tidak pelaut dan pedagang perlu sentiasa peka terhadap setiap perubahan angin monsun.

 

Bagi aktiviti perdagangan maritim di benua Asia suatu masa dahulu terdapat beberapa kumpulan utama pedagang iaitu terdiri daripada Parsi, Arab, India dan China.

 

Selain itu, masyarakat Melayu daripada Kepulauan Nusantara juga terdiri daripada pelaut dan pedagang yang hebat dan dikenali di seluruh pelosok dunia.

 

Salah satu kapal layar hasil tangan tempatan yang masih terdapat sehingga kini ialah kapal Naga Pelangi milik Christoph Swoboda.


 

parafrasa
Naga Pelangi merupakan kapal layar buatan Terengganu milik Warga Jerman Christoph Swoboda yang masih mampu berlayar sehingga kini.

 

swoboda
Christoph Swoboda


 

Adalah menjadi satu kelebihan bagi pedagang-pedagang yang datang berdagang di Kepulauan Nusantara kerana mereka dibantu oleh dua angin monsun yang menggerakkan kapal-kapal dagang mereka iaitu Monsun Timur Laut atau turut dikenali sebagai Monsun Musim Sejuk yang bertiup dari utara ke selatan (Disember-Februari) dan angin Monsun Barat Daya atau Monsun Musim Panas yang bertiup dari selatan ke utara (Jun-Ogos).

 

Monsun Musim Sejuk dan Musim Panas dinyatakan di dalam pelbagai penerbitan ilmiah adalah merujuk kepada musim yang berlangsung di Hemisfera Utara atau dalam konteks Monsun di Asia adalah merujuk kepada Benua Asia.

 

Pedagang daripada Semenanjung Arab dan India sebagai contoh akan belayar ke arah tenggara iaitu ke Kepulauan Nusantara ketika bertiupnya Monsun Timur Laut dan mereka akan kembali semula ke tempat asal mereka apabila bermulanya Monsun Barat Daya.

 

Manakala bagi pedagang-pedagang daripada China dan Thai mereka juga akan belayar ke Kepulauan Nusantara ketika angin Monsun Timur Laut bertiup dan akan pulang semula ketika berlangsungnya Monsun Barat Daya.

 

Intensiti tinggi penggunaan laluan maritim dapat dibuktikan dengan penemuan dan penyelamatan pelbagai artifak daripada lebih 25 bangkai kapal karam yang telah ditemui di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka.


 

nanhai
Bangkai kapal Nanhai yang tenggelam di Laut China Selatan pada kurun ke-12.

 

nanhai
Lukisan gambar kapal dagang Nanhai Diraja.

 


Beberapa bangkai kapal karam yang terkenal termasuk Turiang, Nanyang, Longquan, Nanhai Diraja, Xuande, Singtai, Wanli, Nassau, Risdam, Diana dan Desaru. Kesemua kapal yang dinyatakan ini membawa kargo yang pelbagai dan bernilai untuk didagangkan di Kepulauan Nusantara.

 

Berdasarkan kepada rekod Jabatan Warisan Negara (JWN) juga menyatakan terdapat lebih 100 lokasi kapal karam yang telah ditemui dan ianya tidak didedahkan kepada umum. Dapatan-dapatan ini membuktikan bahawa laluan maritim yang melibatkan Asia Tenggara adalah sangat penting dan strategik untuk menjalankan aktiviti perdagangan dan ekonomi.

 

Mungkin kita tertanya-tanya kenapakah kapal-kapal dagang akan berhenti dan menjalankan aktiviti perdagangan dan ekonomi di Kepulauan Nusantara pada sela masa tertentu iaitu di antara Mac–Mei dan Oktober–November setiap tahun.

 

Ini adalah kerana tempoh masa tersebut kapal-kapal dagang tidak dapat belayar sama ada ke Timur atau Barat disebabkan oleh pembentukan doldrum di kawasan perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka.


 

parafrasa

 


Apakah yang dimaksudkan dengan doldrums? Menurut pentadbiran lautan dan atmosfera kebangsaan (NOAA), doldrums atau di dalam bahasa melayunya bermaksud kelesuan ialah satu istilah nautika yang menggambarkan keadaan perairan dengan tiupan angin yang sangat lemah atau tiada langsung pergerakan angin.

 

Keadaan ini sangat tidak digemari oleh pelaut dan pedagang zaman silam kerana ia akan menyebabkan kapal-kapal layar tersadai tidak bergerak di sesuatu perairan. Ia merupakan satu fenomena yang kebiasaannya berlaku berhampiran garisan khatulistiwa lautan Pasifik, Atlantik dan Hindi.

 

Fenomena ini pernah digambarkan di dalam salah satu babak filem terkenal Pirate of the Caribbean: At World’s End yang dilakonkan oleh bintang Hollywood, Johnny Deep melalui watak Kapten Jack Sparrow.

 

Digambarkan kapal milik Kapten Jack Sparrow iaitu The Black Pearl telah tersadai di kawasan doldrums. Kapal beliau tidak dapat bergerak ke mana-mana arah kerana tiada tanda-tanda kehadiran angin di kawasan perairan berkenaan.
 

 

parafrasa


 

Salah satu watak di dalam filem berkenaan juga iaitu Tia Dalma (Naomie Harris) turut mengungkapkan “If we cannot escape these doldrums before night, I fear we will sail on trackless seas. Doomed to roam the reach between worlds. Forever.” Ini menunjukkan pelaut atau pedagang akan cuba mengelak untuk berhadapan dengan fenomena doldrums.

 

Berdasarkan kepada senario yang berlaku ini boleh dikatakan bahawa pelaut dan pedagang zaman silam adalah terdiri daripada mereka sangat mahir dan arif di dalam memahami perubahan persekitaran dan iklim semasa.

 

Kemahiran ini telah membolehkan mereka menentukan masa yang sesuai untuk belayar meredah lautan yang luas. Bertambah menakjubkan lagi apabila mereka dapat memahami interaksi lautan dan atmosfera tanpa menggunakan sebarang peralatan cerapan canggih dan moden.

 

Walaupun dunia perdagangan hari ini tidak lagi bergantung kepada tiupan angin, namun, pengaruh angin masih lagi besar di dalam mencorakkan perubahan iklim dunia hari ini.

 

Satu inisiatif telah diambil oleh Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), UMT untuk membangunkan aplikasi sistem ramalan laut iaitu Sistem Ramalan Marin Malaysia (MFAST) bagi tujuan membantu aktiviti maritim khususnya di perairan Laut China Selatan.

 

parafrasa

 

Selain itu, UMT melalui Pusat Latihan Pelayaran juga tidak ketinggalan di dalam usaha mengetengah dan menghidupkan kembali aktiviti pelayaran di negeri Terengganu. Tidak lain dan tidak bukan inisiatif ini diambil adalah untuk mengembalikan kegemilangan masyarakat Melayu yang suatu ketika dahulu pernah bergelar pelayar samudera yang hebat.

 

Oleh itu, dapatlah kita katakan angin monsun yang bertiup sejak sekian lama telah menjadi nadi penting kepada aktiviti perdagangan silam di rantau Asia Tenggara atau dahulunya lebih dikenali sebagai Kepulauan Nusantara.

 

Angin monsun ini juga telah menjadi agen kepada proses asimilasi atau percampuran budaya di antara timur dan barat sejak berkurun lamanya. DagangNews.com

 
 
Penulis merupakan Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan, dan pensyarah kanan bidang geokimia marin di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu