Mempromosi keusahawanan sebagai kerjaya pilihan bagi komuniti B40 | DagangNews Skip to main content

Mempromosi keusahawanan sebagai kerjaya pilihan bagi komuniti B40


KUALA LUMPUR 15 April – Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB), Taylor’s Education Group, Yayasan Generasi Gemilang (YGG) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) telah bekerjasama untuk merintis Program Keusahawanan PRUKasih bagi melengkapkan kumpulan berpendapatan rendah bandar dengan kemahiran dan ilmu keusahawanan.

 

Ditubuhkan pada tahun 2011 hasil kerjasama antara PAMB dan YGG, PRUKasih adalah pelan perlindungan kewangan yang ditaja bagi menyokong usaha Kerajaan untuk menambahbaikkan kehidupan isi rumah berpendapatan rendah di bandar di Malaysia.

 

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, program ini telah diperluaskan untuk menyediakan pendidikan kewangan kepada komuniti PRUKasih dan pada 2020, ahli-ahli diberi peluang untuk memulakan perjalanan keusahawanan mereka. 

 

“Program Keusahawanan PRUKasih mencatat sejarah baharu penting bagi Prudential ketika kami meraikan ulang tahun ke-10 perjalanan PRUKasih kami. Program Pelaburan Komuniti kami menegaskan komimen kami untuk memberikan sokongan yang berfokus dan praktikal kepada komuniti tempatan yang memerlukan. Inilah sebab mengapa kami merasakan bahawa ini adalah langkah yang tepat untuk menolong mereka mencapai masa depan kewangan yang mampan.  

 

Kami bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Taylor’s Education Group yang berkongsi visi yang sama dengan kami. Bersama dengan rakan strategik Yayasan Generasi Gemilang, kami berupaya mengajukan program ini kepada INSKEN yang amat menyokong usaha kami,” kata Gan Leong Hin, Ketua Pegawai Eksekutif PAMB. 

 

Sejumlah 70 permohonan telah diterima yang daripadanya 32 peserta telah dipilh untuk berada dalam kumpulan pertama. Program ini bermula dengan peserta menghadiri sesi pembelajaran ilmu perniagaan dan kesihatan mental melalui bilik darjah maya. Mereka kemudiannya dijemput untuk menghadiri sesi penyampaian jualan (pitch session) dan selepas itu geran peralatan diberikan kepada peserta yang layak oleh PAMB bagi menolong mereka memulakan perniagaan mereka.

 

Triton2020

 

Selepas menjalani sesi latihan maya dan praktikal selama tujuh bulan, seramai 18 peserta Keusahawanan PRUKasih hadir pada majlis tamat pengajian secara maya bagi meraikan pencapaian mereka.

 

Majlis secara maya ini dihadiri oleh Muhd Firdaus Azharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN; Gan Leong Hin, Ketua Pegawai Eksekutif PAMB dan May Wong, Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat dari Taylor’s. Para graduan akan meneruskan perjalanan mereka dengan INSKEN untuk membangunkan lagi  strategi keusahawanan dan pertumbuhan perniagaan mereka.   

pri
Gan Leong Hin

 

“Dengan matlamat INSKEN untuk menghasilkan usahawan yang berpengetahuan tinggi, berdaya tahan dan berkebolehan yang mampu bersaing di arena global, kami berbangga kerana telah berjaya bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk menyediakan modul latihan yang holistik yang akan melengkapkan graduan dengan ilmu pengetahuan yang relevan dan praktikal.

 

Usaha sama antara INSKEN, Prudential, Taylor’s Education Group dan Yayasan Generasi Gemilang adalah penting kerana hanya melalui perkongsian antara pihak berkepentingan sektor awam dan swasta sahajalah maka agenda negara Malaysia dapat diperkukuh dan diperluaskan lagi,” kata Muhd Firdaus Azharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN. 

 

insken
Muhd Firdaus Azharuddin

 

Firdaus menambah bahawa para peserta tidak harus menganggap berakhirnya pengajian mereka sebagai garisan penamat, tetapi sebagai permulaan kepada proses pembelajaran mereka dengan INSKEN dan rakan pembelajaran mereka bagi memastikan kejayaan perniagaan mereka. 

 

Selepas tamatnya pengajian kumpulan pertama, PAMB telah memulakan Fasa 2 program ini pada bulan Mac dengan 70 peserta baharu. 

 

Bagi membantu Malaysia mencapai taraf negara maju, kerajaan Malaysia melalui Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN), telah menetapkan hala tuju strategik yang menyeluruh bagi membangunkan ekosistem keusahawanan negara.

 

Langkah memupuk budaya keusahawanan dalam segenap lapisan masyarakat Malaysia telah dikenal pasti sebagai teras strategik di bawah DKN yang bermatlamat untuk mempromosikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan dalam kalangan belia, wanita dan golongan B40. - DagangNews.com