Menara terakhir kondominium Solasta Dutamas akan mula dijual secara rasmi pada 1 Oktober 2023 | DagangNews Skip to main content

Menara terakhir kondominium Solasta Dutamas akan mula dijual secara rasmi pada 1 Oktober 2023

Allan Yu menunjukkan model kondominium Solasta Dutamas yang akan mula dibuka untk jualan pada 1 Oktober ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Menara terakhir kondominium Solasta Dutamas yang dibangunkan YNH Property Berhad akan dibuka untuk jualan secara rasmi pada 1 Oktober 2023 ini.

 

Pemaju utama hartanah perumahan dan komersial kelas pertama itu berkata, dua menara pertama Solasta Dutamas, Blok B dan Blok C, yang dilancarkan masing-masing pada suku pertama 2023 dan suku keempat 2022, kini hampir dijual sepenuhnya. 

 

Kadar pengambilan yang kukuh itu didorong oleh lokasi strategik pembangunan, harga yang kompetitif dan fasiliti dan kemudahan yang luar biasa.

 

Menara terakhir Solasta Dutamas (Blok A) adalah pembangunan 33 tingkat yang terdiri daripada 329 pangsapuri perkhidmatan. 

 

Penjualan itu menandakan pembangunan kediaman bandar pencakar langit tiga menara yang merentasi tanah pegangan bebas seluas 1.29 hektar itu selesai sepenuhnya. 

 

Keseluruhan pembangunan itu mempunyai jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM771 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2026.

 

Pengurus Besar Kumpulan YNH Property, Allan Yu berkata, projek itu berjaya menarik minat pembeli terutamanya pembeli muda dan mereka yang menghargai gaya hidup bandar kontemporari moden.

 

“Pembeli kami tertarik dengan lokasinya dalam kawasan mewah ini dan mendapati harganya benar-benar berbaloi. 

 

"Selain itu, Solasta Dutamas adalah satu-satunya pembangunan di kawasan itu dengan laluan berbumbung yang telah diluluskan ke stesen KTM, memberikan penduduk kami akses yang mudah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Blok A mempunyai empat jenis iaitu unit dua bilik tidur termasuk Jenis A (720 kaki persegi), Jenis A1 (750 kaki persegi), unit tiga bilik tidur termasuk Jenis B (880 kaki persegi) dan Jenis B1 (900 kaki persegi). 

 

Setiap unit, sebahagiannya telah dilengkapi dengan perabot siap dipasang, berharga bermula dari RM697,500 seunit.

 

Beliau berkata, kejayaan Solasta Dutamas akan menyumbang secara positif kepada prestasi kumpulan memberikan nilai yang mampan untuk para pemegang saham dan pemegang kepentingan kami pada jangkaan masa hadapan. 

 

"Selain itu, ia juga mempamerkan keupayaan YNH dalam mendapatkan, memasarkan dan membangunkan ruang tanah berkualiti tinggi yang boleh memacu pertumbuhan masa depan Kumpulan dan memberi manfaat kepada masyarakat secara amnya," katanya. - DagangNews.com