KUALA LUMPUR 28 Ogos - Mercury Securities Group Berhad hari ini melancarkan prospektus kumpulan untuk tawaran awam permulaan (IPO) yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
IPO itu diunjurkan mengumpul RM39.27 juta melalui terbitan 157.09 juta saham pada harga terbitan 25 sen sesaham.
Kumpulan itu berkata, sejumlah RM26.86 juta akan digunakan untuk perkhidmatan kemudahan pembiayaan margin manakala RM2.88 juta digunakan untuk menambah baik program pendigitalan dan aktiviti pemasaran untuk perniagaan dan operasi broker saham.
Katanya, sejumlah RM4.63 juta untuk kegunaan modal kerja RM4.9 juta untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan Mercury Securities, Chew Sing Guan berkata, pihaknya merancang untuk memanfaatkan penyenaraian itu untuk terus berinovasi, mendigitalkan dan mengembangkan penawaran produk dan perkhidmatannya.
Beliau berkata, dengan rangkaian pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan pihaknya sedang memulakan perjalanan untuk mencapai tahap lebih tinggi dan lebih baik dalam dalam pasaran modal.
“Mercury telah berjaya mendapatkan keuntungan setiap tahun sejak bermula operasi pada tahun 1992, walaupun pasaran saham mengalami pasang surut.
"Kami akan menjadi syarikat broker saham pertama yang mencari dan memperoleh penyenaraian IPO di Bursa Malaysia dalam 20 tahun terakhir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
IPO tersebut melibatkan terbitan awam sebanyak 157.1 juta saham biasa baharu (saham terbitan) dan tawaran untuk penjualan 71.51 juta saham biasa sedia ada masing-masing mewakili 17.59% dan 8.01% saham terbitan Mercury Securities yang diperbesarkan daripada 893 juta saham biasa.
Selaras dengan pelancaran prospektus Mercury Securities, permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 5 September 2023 pada pukul 5.00 petang.
Mercury Securities dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 19 September 2023.
Selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE, Mercury Securities akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM223.25 juta berdasarkan harga terbitan 25 sen sesaham dan modal saham terbitannya yang diperbesarkan sebanyak 893.00 juta saham.
Public Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi penyenaraian itu.- DagangNews.com