KUALA LUMPUR 6 Sept - Keputusan untuk memuktamadkan perolehan sistem artileri mudah gerak (SPH) Tentera Darat kini berada pada fasa akhir apabila proses dokumentasi tersebut sedang dilaksanakan.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang memperincikan beberapa perkara yang mana proses tersebut dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.
Ini bermakna jangkaan untuk syarikat mana yang memenangi kontrak akan diketahui pada tahun hadapan.
Kemungkinan juga MINDEF akan memeterai perjanjian perolehan tersebut semasa pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 di Kuala Lumpur.
Perancangan Tentera Darat ialah untuk memperoleh 18 unit meriam SPH berkaliber 155mm termasuk infrastruktur bagi kekuatan sebuah rejimen.
Walaupun nilai kontrak tidak dinyatakan tetapi kos perolehan melengkapkan sebuah rejimen SPH boleh dianggarkan kira-kira RM900 juta jika mengambil kira nilai tukaran matawang semasa.
Sebagai perbandingan, kontrak SPH dengan jumlah sama yang pernah ditawarkan kepada syarikat Turkiye, Makine ve Kimya Endüstrisi A.Ş (MKE) tahun lalu adalah RM834 juta.
Bagaimana pun, Kementerian Kewangan pada 16 Januari lalu telah memutuskan bahawa cadangan perolehan SPH secara rundingan terus itu dibatalkan.
Sebaliknya MINDEF bersama agensi pusat sedang berbincang untuk melaksanakan perolehan peralatan ini secara Government to Government.
Perolehan SPH merupakan antara projek yang menjadi keutamaan Tentera Darat dalam meningkatkan keupayaan kuasa tembakan Rejimen Artileri Diraja (RAD).
Ia telah dirancang sejak 25 tahun lalu berikutan pemodenan Tentera Darat sebagai sebuah angkatan perang konvensional.
Ketika ini Tentera Darat mempunyai dua jenis meriam iaitu kaliber 105mm dengan jarak tembakan sehingga 17 kilometer (km) manakala meriam 155mm pula sehingga 40km.
Walaupun mempunyai kaliber sama, tetapi kelebihan sistem SPH 155mm ialah sifat mobiliti yang membolehkan meriam yang dipasang di atas kenderaan ini berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain dengan cepat.
Sistem SPH juga boleh dipadankan dengan operasi yang melibatkan ketumbukan kenderaan tempur seperti mekanise dan kereta kebal.
Ciri-ciri pada sistem SPH juga memudahkan kenderaan ini dihantar ke mana-mana lokasi termasuk menggunakan kapal terbang pengangkutan.
Difahamkan, kontrak SPH telah menarik minat empat hingga lima syarikat luar negara bersaing apabila MINDEF membuka tender terbuka antarabangsa.
Sekalipun tawaran kontrak Yavuz 155mm dibatalkan, namun pihak MKE masih dilihat antara calon kuat dalam saingan tersebut.
Yavuz merupakan sistem artileri moden dengan teknologi canggih serta dipertingkatkan daripada meriam Panther 155mm yang digunakan Tentera Turkiye.
Dengan hubungan baik Malaysia-Turkiye dalam hubungan luar dan kerjasama industri pertahanan, MKE mempunyai potensi untuk memikat MINDEF.
MKE merupakan syarikat milik penuh kerajaan Turkiye dengan 100 peratus pemegang sahamnya adalah Kementerian Pertahanan negara manakala pengerusinya adalah Timbalan Menteri Pertahanan Turkiye.
Saingan terdekat adalah sistem SPH CAESAR 6x6 155mm yang dibangunkan syarikat Perancis, NEXTER Systems.
SPH CAESAR 155mm merupakan sebuah sistem persenjataan yang telah teruji di medan perang serta digunakan tentera enam negara termasuk Thailand dan Indonesia.
Kelebihan pada SPH CAESAR 155mm ialah ia telah mempunyai rakan strategik tempatan, Advanced Defence Systems Sdn. Bhd. (ADS) yang telah pun membina kemudahan di sini.
NEXTER dan ADS pula sebelum ini berjaya memenangi perolehan 18 meriam 105mm LG1 MK III kepada Tentera Darat.
Menerusi kerjasama tersebut, NEXTER dan ADS giat melakukan usaha mempromosi lain-lain sistem persenjataan yang diperlukan Tentera Darat termasuk SPH.
Pada DSA 2022 lalu, kedua-dua syarikat telah memeterai memorandum persefahaman untuk memasarkan sistem SPH CAESAR.
CAESAR 155mm juga bukan baharu dalam saingan ini kerana Perancis telah menawarkan meriam SPH kepada Tentera Darat sejak 25 tahun lalu menerusi model terdahulu.
Diharapkan syarikat mana pun yang bakal memenangi kontrak SPH ini nanti, ia dapat menawarkan satu pakej yang terbaik dan menguntungkan kepada Tentera Darat. - DagangNews.com