[MERREPAK] Bisnes tidak laku, jangan meratapi kerugian, cari bimbingan usahawan! | DagangNews Skip to main content

[MERREPAK] Bisnes tidak laku, jangan meratapi kerugian, cari bimbingan usahawan!

Datuk Wira Dr Azizan Osman - Gambar DagangNews/Mohammad Naim Firdaus

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

SECARA peribadi, sebagai usahawan berita atau entreprenews, bahang kelembapan ekonomi sememangnya dirasai sejak awal tahun. Syarikat-syarikat tidak menafikan bajet pengiklanan mereka dipotong teruk.

 

Tetapi anehnya, mereka tetap berharap agar berita mengenai syarikat terus disiar di portal berita DagangNews.com. Tidak ada masalah. Kita siar sahaja, dengan harapan dengan penyiaran berita akan membantu merancakkan perniagaan syarikat. Dan akhirnya nanti sedia kembali melabur di portal berita ini.

 

Ini fakta. Ini hakikat dunia perniagaan sekarang. Benar tidak semua merasa panas terik sebegini. Ada yang maju jaya terus catat hasil besar. Persoalannya, apakah ini nasib atau sesuatu yang lain?

 

Dalam menerajui perniagaan berita ini, tidak sama dengan runcit. Produk kami tidak dijaja secara Cash On Delivery (COD). Jadi harus mencari model atau formula khusus.


 

dagangnews.com

 


Saya tidaklah berniat memanjangkan kisah berniaga berita ini. Ada kerumitan kerana ia berkait rapat dengan penghasilan berita yang bertunjang kepada soal kebebasan media. Rumit. Jadi anda yang kaya-raya, tak perlulah tubuhkan syarikat media. Memadai beli iklan. Lainlah jika anda mahu mengawal tentu apa pendapat orang ramai tentang sesuatu isu. Tetapi ini kita ulas di masa dan waktu lain.

 

Kembali kepada soal `mencari model atau formula khusus’, walaupun saya ini bergelar Editor Ekonomi, bab-bab pengurusan perniagaan ini saya terus belajar kerana menulis tidak sama dengan melaksanakan perniagaan. Berat. Tak perlulah sebut musim pelaporan audit tahunan. Resit hilang. Pening.

 

Antara guru-guru yang saya rajin ikuti ialah Datuk Wira Dr Azizan Osman. Tak kisahlah apa pencemuh beliau cakap mengenainya. Saya puas hati untuk tidak mempertikaikan beliau kerana `pelajar-pelajar’ beliau terbukti kalangan usahawan yang berjaya. Malah satu daripadanya adalah pengusaha katerer dan restoran di kejiranan saya yang saban pagi kami sekeluarga pergi untuk bersarapan.

 

Paling terbaharu awal bulan ini Azizan mengulas isu situasi ekonomi negara daripada aspek peningkatan kos sara hidup, kelemahan nilai mata wang Ringgit, dan sistem sokongan usahawan. Ini tajuk relevan, sekurang-kurangnya bagi saya sebagai entreprenews.

 

Secara peribadi saya tidak berminat memohon apa-apa skim kerajaan. Bukan sombong tetapi malas berdepan karenah birokrasi dan syarat-syarat yang menyeramkan. Selagi boleh mendayung, pendayung tak patah perahu tak bocor...kita kayuh perlahan-lahan.


 

azizanosman

Semua gambar oleh Mohammad Naim Firdaus/ DagangNews.com

parafrasa

 

azizanosman

 


Azizan menyebut beberapa perkara yang mendorong saya mencatat nota: 

 

Menyesuaikan Diri dengan Perubahan Pasca Pandemik:

Dunia pasca-pandemik telah membawa perubahan pantas yang memerlukan perniagaan menjadi fleksibel dan boleh disesuaikan. Strategi yang berjaya sebelum ini mungkin tidak lagi berkesan dan syarikat mesti bersedia untuk berputar dan menerima peluang baharu.

 

Kepelbagaian:

Mempelbagaikan penawaran produk boleh membantu perniagaan mengurangkan risiko dan mencapai pangkalan pelanggan yang lebih luas. Bergantung pada satu produk sahaja boleh mengehadkan potensi pertumbuhan, terutamanya dalam masa ekonomi yang tidak menentu.

 

Memperkasakan Perniagaan Sedia Ada:

Memberi tumpuan kepada menyokong perniagaan sedia ada boleh membawa kepada hasil yang lebih baik kerana mereka sudah mempunyai beberapa kehadiran dan pengalaman pasaran. Ini boleh menjadi lebih berkesan daripada hanya cuba melancarkan usaha baharu.

 

Mengatasi Keraguan:

Keraguan dan ketidakpastian boleh menghalang kemajuan. Mengatasi cabaran ini memerlukan pemikiran yang positif dan kesediaan untuk mencuba pendekatan baharu.

 

Belajar daripada Perniagaan yang Berjaya:

Mempelajari perniagaan yang berjaya boleh memberikan pandangan dan inspirasi yang berharga untuk usahawan. Menganalisis strategi dan kaedah mereka boleh membantu orang lain memperbaiki pendekatan mereka sendiri.

 

Penilaian dan Latihan Perniagaan:

Menawarkan sesi penilaian perniagaan dan program latihan boleh memberi manfaat kepada usahawan yang ingin meningkatkan kemahiran dan strategi mereka. Mengenakan bayaran yang berpatutan boleh menunjukkan komitmen daripada peserta.

 

Benar, ramai daripada kita (termasuk saya) agak liat hendak menyertai latihan perniagaan tetapi tanpa ilmu dan kemahiran, perniagaan akan diurus secara koboi. Tembak guna pistol 6 peluru. Habis peluru diburu syerif lobo!


 

azizanosman

 


Dalam konteks ini, RichWorks International Sdn Bhd menyasarkan sebanyak 6,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengalami cabaran untuk melonjakkan bisnes untuk menyertai Klinik Usahawan: Siri Bina Bisnes Berjaya, bermula bulan ini.

 

Klinik usahawan tersebut ditaja sepenuhnya melalui geran bimbingan perniagaan bernilai RM3 juta bagi manfaat usahawan berkenaan dalam tempoh selama tiga bulan.

 

Difahamkan Richworks memberi fokus kepada usahawan yang serius untuk bangkit dan transformasi bisnes mereka dalam apa jua keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini.

 

Untuk menyertai program ini, usahawan perlu hadir ke pejabat RichWorks bagi menjalani latihan dan pihak perunding akan memberikan sesi penilaian perniagaan yang berharga RM497 yang mana usahawan terbabit tidak perlu bayar. 

 

"Tetapi bukan senang untuk usahawan dapat peluang ini, kerana mereka perlu mendaftar dan hadir ke pejabat RichWorks (RichQ) di Shah Alam.

 

"Sesi ini khas untuk usahawan yang telah menjalankan perniagaan yang mana kita akan menangani masalah bisnes mereka. Setakat ini seramai 100 usahawan yang memberi maklum balas, ia sangat membantu mereka bagaimana untuk bangkit dalam keadaan mencabar ketika ini," kata Azizan.


 

parafrasa

 


Dimaklumkan sudah hampir 400 usahawan dari dekat dan jauh termasuk antaranya Brunei, Kelantan, Sabah, Johor dan Perak mendaftar untuk hadir mengikuti sesi klinik usahawan berkenaan.

 

Azizan turut mengumumkan program khas, 10x Bina Bisnes Berjaya (10xBBB) yang akan dianjurkan di Ideal Convention Center Shah Alam (IDCC) selama dua hari pada 2 dan 3 September 2023. Program itu merupakan sesi bimbingan susulan perkembangan bisnes usahawan yang menyertai klinik usahawan tersebut.

 

 Untuk maklumat lanjut, bangsa usahawan boleh melayari laman web richworks.com/satujutapertama
 

 

BACA JUGA: RichWorks sasar bantu 6,000 PKS bangkit dalam bisnes menerusi geran bimbingan perniagaan bernilai RM3 juta

 

"Dalam keadaan mencabar sebenarnya peluang untuk mereka bangkit dan bergerak lebih jauh lagi. Namun tiada siapa boleh bantu ubah bisnes mereka, jika diri sendiri tak nak dan komited untuk mencapai matlamat itu," ujarnya. - DagangNews.com

 

 

 

Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjaya lebih 31 tahun. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Mony, Mony oleh Billy Idol berulang-ulang kali.