KUALA LUMPUR 11 Julai - Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (RMCD) untuk mempromosikan program Operator Ekonomi Sah (AEO) di Malaysia.
Inisiatif itu menyasarkan untuk meningkatkan keselamatan, kecekapan dan pematuhan dalam rantaian bekalan yang memanfaatkan komuniti perniagaan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat-syarikat eksport dan import.
Menurut MICCI, AEO merupakan sebahagian daripada Rangka Kerja Piawaian SAFE (SAFE FoS) yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Kastam Dunia (WCO) bagi menjamin dan memudahkan perdagangan global.
Sementara itu, pensijilan AEO akan diberikan kepada syarikat-syarikat perdagangan antarabangsa yang memenuhi syarat keselamatan ditetapkan oleh pentadbiran kastam global di bawah SAFE FoS dan piawaian antarabangsa berkaitan.
Bagi perniagaan eksport dan import pula, status AEO menyediakan penyelesaian rantaian bekalan yang lebih dipercayai dan selamat sekaligus menarik rakan kongsi serta pelanggan global.
MICCI maklum, kecekapan dan keselamatan rantaian bekalan pensijilan AEO memudahkan akses yang lebih lancar kepada pasaran antarabangsa baharu, membantu syarikat Malaysia untuk mengembangkan pasarannya ke peringkat antarabangsa.
AEO akan meningkatkan keuntungan syarikat melalui operasi rantaian bekalan yang lebih efisien, mengurangkan masa menunggu, meningkatkan tahap perkhidmatan, mengurangkan kos kastam dan meningkatkan kecekapan logistik.
Presiden MICCI, Christina Tee menyatakan bahawa syarikat itu turut proaktif untuk menyokong komuniti perniagaan dengan menjalan program serta menyediakan pensijilan yang bermanfaat.
“Program AEO bukan sahaja menyokong perniagaan Malaysia untuk lebih berdaya saing di peringkat global, tetapi mengukuhkan kepentingan keselamatan dalam perdagangan antarabangsa.
“Dengan menggalakkan lebih banyak PKS berstatus AEO, kita boleh meningkatkan kedudukan Malaysia dalam pasaran global, PKS berpeluang untuk mengembangkan perniagaan mereka di luar sempadan Malaysia, dan memacu pertumbuhan sektor eksport dan import kita,” kata beliau dalam kenyataan itu.
Sementara itu kerjasama MICCI dan RMCD bakal menggalakkan persekitaran perdagangan yang selamat dan efisien di Malaysia sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan integrasi perdagangan global.
Menurut Tee, “97 negara telah melaksanakan program ini dan syarikat-syarikat yang berstatus AEO dapat menikmati manfaat status itu termasuk pelepasan barang secara automatik, kelulusan yang lebih cepat, penangguhan pembayaran duti dan pentauliahan seumur hidup,” ujarnya.
Dalam usaha membantu PKS memahami AEO, MICCI Perak telah mengadakan seminar bersama Kastam di auditorium Camfil Malaysia baru-baru ini untuk terus menyokong perniagaan tempatan.- DagangNews.com