MIDF Research jangka penyusutan pendapatan TNB hanya sementara, kembali pulih pada FY24 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka penyusutan pendapatan TNB hanya sementara, kembali pulih pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - MIDF Researh menjangkakan penyusutan pendapatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah sementara dan kembali pulih pada tahun kewangan (FY) akan datang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan kumpulan itu terkesan akibat kerugian TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco) akibat margin bahan api negatif di loji arang batunya serta pengurangan kadar kapasiti kewangan (CRF) di sebahagian loji janakuasa sejak 3QFY22.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan kesan daripada margin bahan api negatif adalah sementara dan keadaan akan kembali stabil selepas pasaran arang batu menjadi normal dan kami percaya pendapatan TNB Genco juga akan pulih pada FY24.

 

"Secara positif, perbelanjaan faedah 2QFY23 berkurangan secara berurutan selepas TNB mengurangkan hutangnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu untung bersih TNB bagi suku 2QFY23 susut 62.41% kepada RM327.9 juta berbanding RM872.2 juta setahun lalu.

 

Kerugian itu adalah kesan daripada bahan api negatif dan kerugian pertukaran mata wang asing.

 

Hasil suku tahun meningkat sedikit sebanyak 3.78% kepada RM13.32 bilion, daripada RM12.84 bilion pada 2QFY22, berikutan peningkatan 3.4% dalam jualan elektrik kepada RM842.1 juta, dengan pertumbuhan permintaan sebanyak 2%.

 

Firma penyelidikan itu menyemak turun unjuran untung bersih FY23 sebanyak 15% bagi mencerminkan kesan margin bahan api negatif ke atas TNB Genco tetapi mengekalkan unjuram FY24/FY25 kerana menjangkakan margin bahan api kembali stabil sejajar dengan penstabilan harga arang batu

 

Mereka juga menyukai TNB kerana menjadi penerima manfaat utama daripada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) kerana perbelanjaan grid dipercepatkan untuk menampung penembusa VRE lebih tinggi. 

 

"Sasaran penembusan tenaga boleh diperbaharui (RE) 70% yang agresif di bawah NETR membuka laluan untuk pengembangan aset RE TNB selain menambah baik profil ESG," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM11.00 sesaham berbanding RM10.50 sesaham.- DagangNews.com