KUALA LUMPUR 2 Ogos - MIDF Research mengekalkan unjurannya bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan menyederhana pada kadar 4.2% bagi 2023 berbanding 8.7% pada tahun lalu.
Firma itu berkata, perkembangan itu terjejas akibat prestasi perdagangan luar yang tidak memberangsangkan kerana eksport sebenar barangan diramal menguncup sebanyak 2.8% berbanding 11.1% pada 2022.
Mengulas mengenai sektor pembuatan Malaysia yang terus menyederhana pada permulaan separuh ketiga tahun ini, firma itu berkata, sikap pesimis dalam kalangan pengeluar di Malaysia dan serantau, mencerminkan kelemahan berterusan dalam permintaan serantau dan global.
Firma itu berkata, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Global S&P Malaysia mencatatkan 47.8 pada Julai 2023 (Jun 2023: 47.7), menandakan penguncupan 11 bulan berturut-turut.
Penguncupan itu disebabkan oleh penurunan ketara dalam pesanan baharu kerana permintaan menurun secara berturut-turut sejak 11 bulan lalu.
Firma itu berkata, keyakinan pelanggan kekal terjejas dalam pasaran domestik dan antarabangsa dengan pesanan eksport baharu telah menyederhanakan paras paling rendah sejak Mei 2020.
Sementara itu, jumlah pengeluaran dikurangkan selama 12 bulan berturut-turut, mencerminkan keadaan permintaan yang lemah.
Firma itu berkat,a dalam tinjauan yang sama, inflasi kos input berada pada paras tertinggi manakala inflasi kos pengeluaran kekal tidak berubah.
Katanya, kelemahan dalam kadar pertukaran wang asing menjadi salah satu punca kenaikan kos bahan mentah walaupun harga yang dikenakan pengeluar kekal tidak berubah bagi merangsang permintaan.
“Namun begitu, industri kekal berharap, mencatatkan keyakinan 25 bulan berturut-turut untuk pengeluaran menjadi lebih baik pada masa hadapan.
"Antara rakan serantau, Jepun, Korea, Taiwan dan China juga mencatatkan PMI pembuatan di bawah 50," katanya. - DagangNews.com