MIDF Research senarai 9 sektor ‘berisiko’ akibat PKPB | DagangNews Skip to main content

MIDF Research senarai 9 sektor ‘berisiko’ akibat PKPB

Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Susulan pengumuman pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 hingga 27 Oktober 2020, MIDF Research turut membuat pemerhatian berkaitan kesan dan risiko daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kepada sektor perindustrian negara.

Berikut adalah pandangan MIDF Research terhadap sembilan sektor yang dinilai;

 

1) AUTOMOTIF

  • Pengoperasian kilang, penjualan dan proses selepas jualan dijangka menerima kesan minimum daripada pelaksanaan PKPB memandangkan aktiviti ekonomi masih dibenarkan beroperasi.
  • Bagaimanapun, aktiviti pengguna secara umum khususnya berkaitan runcit berkemungkinan terjejas akibat larangan pergerakan.

 

2) PERBANKAN

  • Pelaksanaan PKPB secara tidak langsung memberi kesan terhadap ekonomi Lembah Klang khususnya berkaitan dengan kualiti aset bank yang sudah berada dalam keadaan 'tertekan' sejak berakhirnya moratorium pinjaman.
  • Bagaimanapun, dengan kesan minimum terhadap ekonomi, MIDF tidak membuat sebarang perubahan dalam ramalan asas untuk sektor perbankan.

 

3) PENGGUNA

  • PKPB dijangka memberi kesan negatif kepada saham pengguna seperti yang dialami oleh Aeon Co Bhd. (BELI, RM1.07) dan Padini Holdings Bhd. (NEUTRAL, RM2.09) yang terjejas teruk akibat pelaksanaan PKP yang lama.
  • Namun, MIDF berpendapat kesan PKPB kali ini adalah tidak seburuk sebelumnya kerana kebanyakan syarikat telah mengubah taktik baharu untuk meningkatkan jualan.
  • Sebaliknya, MIDF menjangkakan kesan pengurangan terhadap stok barangan pengguna seperti Nestlé (Malaysia) Bhd., Fraser & Neave Holdings Bhd. dan Spritzer Bhd. kerana pengguna memilih untuk membeli stok simpanan di samping mengurangkan pergerakan mereka ke kedai runcit.

 

4) PENJAGAAN KESIHATAN

  • Kesan PKPB akan dirasai oleh pengusaha hospital swasta dengan pengeluar farmaseutikal memandangkan lawatan pesakit luar dan kemasukan pesakit akan mengalami penurunan sepanjang dua minggu PKPB dilaksanakan di Lembah Klang.
  • PKPB juga akan memberi kesan kepada penjualan bahagian farmasi disebabkan oleh akses yang terhad ke hospital dan klinik di kawasan berkenaan.

 

5) LOGISTIK

  • PKPB dijangka tidak akan memberi kesan dominan kepada sektor logistik berbanding dengan PKP dan PKPB sebelum ini.
  • MIDF berkata, ini disebabkan oleh langkah kawalan yang kurang ketat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi terus berlaku.

 

6) GAS dan MINYAK

  • Secara amnya, kesan PKPB terhadap sektor minyak dan gas adalah terhad kepada pengusaha stesen minyak.
  • Bagaimanapun, akibat keterbatasan pergerakan sepanjang PKPB, kami menjangkakan penurunan penggunaan petrol di Lembah Klang sekali gus memberi kesan kepada keuntungan pengendali stesen minyak seperti Petronas Dagangan (NEUTRAL, TP: RM19.31).

 

7) HARTANAH

  • PKPB dijangka memberi kesan negatif untuk jangka masa pendek dalam aspek penjualan baharu syarikat hartanah kerana kebanyakan projek pemaju adalah terletak di Lembah Klang.
  • Tahap lawatan ke galeri juga dijangka rendah semasa PKPB.

 

8) REITS

  • Bagi REIT, PKPB akan memberi kesan negatif kepada REIT terutamanya dalam bahagian runcit.
  • Sebilangan besar pusat beli-belah yang dimiliki oleh REIT adalah terletak di Lembah Klang.
  • Meskipun aktiviti perniagaan masih dibenarkan beroperasi, MIDF melihat penguatkuasaan PKPB akan memberi kesan kerana kerajaan menghadkan hanya dua orang dibenarkan untuk keluar membeli barangan keperluan.

 

9) TENAGA

  • Sektor tenaga adalah perkhidmatan penting yang dijangka akan mengalami kesan yang minimum terhadap permintaan jumlah tenaga.
  • Berbeza dengan PKP pada 2Q20 yang menyaksikan TNB menerima impak negatif akibat sekatan aktiviti perbelanjaan modal, namun perkara tersebut dilihat tidak mungkin berlaku semula. - DagangNews.com