MIDF Research unjur minyak sawit mentah berdepan prospek mencabar akibat tekanan inflasi | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur minyak sawit mentah berdepan prospek mencabar akibat tekanan inflasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Minyak sawit mentah (MSM) berdepan prospek mencabar kesan daripada permintaan yang tidak stabil akibat tekanan inflasi selain perbelanjaan isi rumah yang terkesan akibat kenaikan kafar faedah asas yang tinggi di peringkat domestik.

 

MIDF Research berkata, antara cabaran lain yang dihadapi termasuk normalisasi pengeluaran, stok penutup yang tinggi di negara pengimport utama dan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (kurang kompetitif berbanding minyak sayuran lain).

 

"Selepas mempertimbangkan faktor berkaitan, kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu dan menyasarkan MSM berada pada paras RM3,500 setiap tan bagi 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan pengeluaran minyak sawit mentah melonjak 11.21% kepada 1.61 juta tan, tertinggi sejak Disember.

 

Eksport pula meningkat 15.55% kepada 1.35 juta tan, lebih daripada jangkaan.

 

BACA JUGA: Stok minyak sawit Malaysia meningkat 0.68% kepada 1.73 juta pada Julai 2023, paras tertinggi lima bulan

 

Pengeluaran berada pada aliran meningkat bermusim, manakala permintaan eksport berkemungkinan pulih pada Ogos, disebabkan ketiadaan bekalan minyak bunga matahari Laut Hitam.

 

Firma itu penyelidkan itu berkata, bagi separuh kedua 2023, kadar keluaran MSM Malaysia melonjak kepada 1.6 juta tan pada Julai dan kekal stabil pada asas tahun sehingga kini pada 9.7 juta tan.

 

Katanya, purata hasil buah tandan segar (BTS) negara meningkat 7% kepada 1.4 tan setiap hektar seiring dengan peningkatan tahap pengeluaran di negeri-negeri timur Malaysia yang telah meningkat sebanyak 12.7% walaupun Kadar Pengekstrakan Minyak (OER) secara relatifnya lebih rendah pada 19.5% disebabkan aktiviti penuaian yang perlahan.

 

"Secara keseluruhannya, prestasi disokong dengan baik oleh keluaran Sabah dan Sarawak (yang menyumbang 46% daripada jumlah pengeluaran negara), memandangkan negeri-negeri kurang terjejas akibat monsun Barat Daya yang bermula pada Mei hingga September," katanya. - DagangNews.com