MIDF Research unjur sektor hartanah pulih secara beransur-ansur susulan tiada kenaikan kadar faedah sejak Julai 2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur sektor hartanah pulih secara beransur-ansur susulan tiada kenaikan kadar faedah sejak Julai 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - MIDF Research menjangkakan sektor hartanah pulih secara beransur-ansur terutama selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menghentikan seketika kenaikan kadar faedah pada Julai lalu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, meskipun terdapat kelemahan dari segi permohonan pinjaman dalam sektor itu pada Jun 2023, namun ia dilihat tidak terlalu memberi kesan.

 

Katanya, prospek hartanah di Johor juga semakin menunjukkan peningkatan dengan kediaman tidak terjual yang lebih rendah dan potensi pemulihan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

 

"Ia dijangka memberi manfaat kepada pemaju hartanah dengan pendedahan kepada Johor iaitu Sunway Berhad dengan 660 hektar tanah di Johor, Eco World Development dengan 404 hektar tanah di Johor dan Mah Sing dengan 453 hektar tanah di Meridin East.

 

"Begitu juga, pemaju hartanah yang mempunyai projek perbandaran di Johor juga dijangka mendapat manfaat daripada prospek hartanah yang lebih baik untuk Johor iaitu IOI Properties dengan Bandar Putra Kulai; Glomac Berhad dengan Sri Saujana dan Perbandaran Saujana Jaya dan SP Setia dengan Setia Tropika, Setia Eco Gardens serta beberapa perbandaran lain," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

MIDF Research berkata, Indeks Hartanah Kuala Lumpur mencatatkan keuntungan kukuh sebanyak 20.5% kerana penilaian kaunter hartanah yang positif.

 

Katanya, kenaikan kukuh dalam Indeks Hartanah Kuala Lumpur mungkin disebabkan oleh keadaan hartanah yang bertambah baik di Johor dan potensi kebangkitan HSR yang memberi petanda baik untuk prospek jangka panjang bagi sektor hartanah.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' tetapi condong ke arah positif.

 

"Pilihan utama kami untuk sektor ini ialah Mah Sing (beli, TP: 83 sen) dan Glomac Berhad (beli, TP: 47 sen) kerana kami melihat pemaju yang menumpukan kepada segmen pasaran pertengahan dan mampu milik harus. 

 

"Kumpulan itu terus menunjukkan prestasi yang baik dalam jangka panjang kerana permintaan untuk rumah mampu milik kekal berdaya tahan," katanya. - DagangNews.com