KUALA LUMPUR 28 Ogos - MIDF Research menjangkakan trend pemulihan sektor penerbangan berterusan pada separuh kedua tahun ini didorong pengenalan semula lebih banyak laluan dan peningkatan dalam kekerapan penerbangan.
Firma penyelidikan itu berkata, kehadiran syarikat penerbangan utama dijangka meluaskan jangkauan pasaran Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
"Sehingga kini, sejumlah 67 syarikat penerbangan (91% daripada peringkat 2019) beroperasi di Malaysia, dan jumlah ini dijangka meningkat sebanyak 8% dalam tempoh dua tahun akan datang.
"Pengembangan ini akan didorong oleh pengenalan semula syarikat penerbangan utama termasuk British Airways dan Qantas, seawal tahun depan.
"Walaupun permintaan kukuh untuk perjalanan udara, dengan faktor muatan purata mencecah 76.1% pada separuh pertama 2023 dan melepasi paras pra COVID-19 sebanyak 1.2%, namun pemulihan penuh kapasiti tempat duduk diunjurkan tidak menjadi kenyataan tahun ini disebabkan kekangan ketersediaan pesawat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BACA JUGA: MAHB catat lebih 11 juta pergerakan penumpang bagi Julai 2023
Terdahulu, pada Julai 2023, pergerakan penumpang antarabangsa di Malaysia meningkat hampir 10% kepada 3.5 juta penumpang daripada 3.2 juta penumpang pada bulan sebelumnya, manakala pergerakan penumpang domestik merekodkan 3.9 juta penumpang, naik 2% daripada 3.8 juta penumpang pada Jun 2023.
Pertumbuhan sektor antarabangsa dan domestik disumbangkan oleh cuti sekolah tempatan menjelang akhir Julai, cuti musim panas di Hemisfera Utara, kedatangan pelancong China secara beransur-ansur, kepulangan jemaah haji, operasi syarikat penerbangan baharu dan tambahan kekerapan penerbangan.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran trafik penumpang mereka kekal tidak berubah dengan jumlah trafik penumpang dalam tujuh bulan 2023 menyumbang 52% daripada anggaran setahun penuh mereka (domestik: 54%, antarabangsa: 49%).
"Kami berpandangan bahawa sektor bukan ASEAN masih menawarkan pertumbuhan yang besar bagi separuh kedua tahun ini dan secara keseluruhan, kami menjangkakan trafik penumpang pulih kepada 85% tahun ini (domestik: 90%, antarabangsa: 80%).
"Kami juga kekal neutral terhadap sektor ini," katanya. - DagangNews.com