MIDF semak turun penarafan saham Tiong Nam kepada ‘neutral’ | DagangNews Skip to main content

MIDF semak turun penarafan saham Tiong Nam kepada ‘neutral’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - MIDF Research menyemak turun penarafan saham Tiong Nam Logistics Holdings Berhad daripada ‘beli’ kepada ‘neutral’ ekoran prestasi suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22) yang lebih lemah daripada jangkaan. 

 

Seiring semak turun tersebut, harga sasaran (TP) saham Tiong Nam turut dikurangkan kepada RM0.85 daripada RM1.05. 

 

“Tiong Nam mencatatkan keuntungan selepas cukai dan minoriti (Patami) berjumlah RM1.42 juta pada 1QFY22, di mana lebih rendah daripada unjuran kami dan konsensus, pada hanya 6% daripada unjuran perolehan sepanjang FY22. 

 

“(Unjuran) Patami utama kami ditetapkan selepas mengubah suai kerugian nilai wajaran dan pelupusan pelaburan,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.

 

Baca : Permulaan positif FY22, Tiong Nam raih untung bersih RM1.5 juta pada suku pertama

 

Walaupun begitu, Tiong Nam menyaksikan jumlah hasil kumpulan menokok 35.7% kepada RM166.9 juta daripada RM123 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Ini terutamanya disumbangkan oleh segmen logistik dan gudang, di mana mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 35.9% daripada RM120.6 juta kepada RM163.8 juta. 

 

Penambahbaikan itu juga disumbangkan oleh pengambilalihan pelanggan logistik baharu ditambah dengan pengembangan perniagaan daripada pelanggan mereka yang sedia ada. 

 

“Walaupun perolehan 1QFY22 lebih rendah daripada jangkaan, kami positif terhadap potensi pertumbuhan segmen logistik dan gudang, memandangkan ia terus menawarkan sokongan kepada segmen pembangunan hartanah serta hotel dan asrama. 

 

“Dalam pada itu, perolehan juga tidak lagi diheret turun oleh segmen hospitaliti yang sentiasa mencatatkan kerugian selepas kecairan kepentingan kumpulan di dalam Terminal Perintis Sdn Bhd (TPSB),” tambah MIDF.

 

Susulan daripada prestasi kewangan Tiong Nam bagi suku tahun berkenaan, MIDF menyemak turun unjuran perolehan kumpulan bagi FY22 kepada RM17.4 juta. - DagangNews.com