Migran miliki MyKad palsu dikenakan tindakan SOSMA, penjara seumur hidup mandatori | DagangNews Skip to main content

Migran miliki MyKad palsu dikenakan tindakan SOSMA, penjara seumur hidup mandatori

PUTRAJAYA 21 Julai - Warga asing yang ditahan memiliki dokumen pengenalan diri, MyKad palsu, akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Tindakan itu diambil selepas kerajaan memastikan Akta Imigresen, turut dimasukkan di bawah jadual SOSMA.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (gambar) berkata tindakan itu boleh dilakukan dengan menggunakan Jadual Pertama dalam SOSMA yang memberi kuasa kepada menteri.

HamzahZainuddin

Katanya, apabila Akta Imigresen itu dimasukkan dalam SOSMA kelak, tindakan mengikut peruntukan undang-undang itu boleh dikenakan terhadap mana-mana migran yang memiliki dokumen pengenalan diri Malaysia yang palsu.

Ketika ini, mana-mana warga asing yang ditangkap memiliki MyKad hanya dikenakan tindakan pengusiran.

"Mana-mana pihak yang didapati bekerjasama mengeluarkan kad pengenalan palsu akan dikenakan tindakan bawah SOSMA.

"Kepada migran, selalunya kita ambil tindakan mengikut Akta Imigresen tetapi saya sebagai menteri ingin melihat Akta Imigresen dimasukkan bawah jadual SOSMA supaya migran yang ditangkap membeli kad pengenalan palsu, dikenakan tindakan mengikut SOSMA,'' katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, semalam. - DagangNews.com