Minyak mentah 2021 diunjur AS$60 setong - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Minyak mentah 2021 diunjur AS$60 setong - Maybank IB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) meningkatkan unjuran minyak mentah bagi tahun 2021 mencecah AS$60 setong berbanding ramalan AS$45 hingga AS$50 sebelum ini. 

 

Firma penyelidikan itu melihat gangguan vorteks kutub, keyakinan terhadap vaksin dan pemotongan pengeluaran adalah pendorong kepada unjuran berkenaan.

 

“Susulan prestasi yang lebih kukuh daripada jangkaan, bermula awal tahun hingga terkini, kami meningkatkan unjuran harga minyak mentah kepada AS$55 hingga AS$60 setong bagi 2021. 

 

“Unjuran yang disemak semula itu secara umumnya sejajar dengan ramalan dibuat oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) dan Fitch Solutions iaitu AS$53 setong. 

 

“Perkembangan atau prospek vaksin COVID-19 yang lebih meyakinkan dan kesan pengambilan pelaburan yang rendah dapat meningkatkan lagi keyakinan di pasaran minyak. Ini bermakna, asas permintaan minyak global tetap lemah, walaupun ke arah pemulihan tetapi masih akan jatuh daripada tahap pra COVID-19 (2019) tahun ini,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Untuk rekod, harga minyak mentah baru-baru ini telah melepasi paras AS$60 setong, mencecah harga tertinggi iaitu AS$63 setong pada 18 Februari dan mencatatkan purata paras AS$57 setong setakat ini. 

 

Bagi Maybank IB, keyakinan yang bertambah baik itu didorong oleh gangguan cuaca dan kesan pemotongan pengeluaran minyak. 

 

Jelas firma penyelidik itu, gangguan vorteks kutub yang luar biasa iaitu lebih kuat dan lebih lama daripada biasa telah melanda tahun ini.

 

Ahli meteorologi menyebutnya sebagai salah satu kejadian yang terbesar dan lama sejak 1950-an, telah menyebabkan cuaca beku dan tidak menentu di hemisfera Utara, mematikan grid kuasa, mengganggu bekalan tenaga dan menurunkan inventori minyak mentah.

 

Dalam masa sama, Arab Saudi yang ‘menjanjikan’ pemotongan minyak secara sukarela sehingga -1 juta tong harian pada Februari hingga Mac 2021 telah menyebabkan bekalan minyak yang lebih runcing, ujar Maybank IB.

 

“Aktiviti ujian suntikan bahan bakar (FID) dan perkembangan vaksin yang lebih meyakinkan akan meningkatkan sikap optimistik. 

 

“Kami masih berhati-hati terhadap ketidaktentuan yang kian meningkat, prospek permintaan yang masih lemah dan ketegangan yang berterusan di Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), menjadi risiko utama,” tambah Maybank IB lanjut.

 

Maybank IB akan terus memerhatikan perkembangan di OPEC+ dan pasaran syal kerana faktor-faktor itu akan membentuk hala tuju pasaran. 

 

Pertama, pematuhan OPEC+ dengan pengekangan pengeluaran minyak yang dijanjikan telah menurun kepada 75% pada bulan Disember 2020, iaitu paras terendah sejak perjanjian bekalan yang dimulakan pada Mei 2020 mula menimbulkan kebimbangan, kata Maybank IB. 

 

Kedua, kerjasama antara Arab Saudi dan Rusia yang tegang mungkin mencetuskan peristiwa Mac 2020 berlaku sekali lagi di mana OPEC + berpecah, perang harga, dan bekalan berlebihan.

 

Ketiga, langkah untuk meningkatkan bekalan selepas bulan April akan menyebabkan harga minyak menyusut dan keempat, pasaran syal mungkin melonjak semula jika harga minyak tetap tinggi dan bertahan dalam jangka masa panjang, tambah Maybank IB. - DagangNews.com