Misi MAFI Prihatin bantu 459 ahli peladang terjejas banjir Johor | DagangNews Skip to main content

Misi MAFI Prihatin bantu 459 ahli peladang terjejas banjir Johor

Misi MAFI Prihatin bantu 459 ahli peladang terjejas banjir Johor

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Selepas menjayakan Misi MAFI Prihatin di Pahang, Kelantan dan Sabah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) meneruskan misi tersebut ke negeri Johor.

 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, misi tersebut diteruskan bagi meringankan beban penduduk yang terkesan banjir, khususnya membabitkan petani, penternak dan nelayan.

 

.

 

"Saya difahamkan di Johor ini keseluruhan seramai 459 orang ahli PPK terjejas dengan banjir iaitu meliputi 11 buah PPK dan 38 unit peladang. 

 

"Lima buah PPK yang ahlinya terjejas banjir telah diberi bantuan oleh pihak LPP dan NAFAS sebelum ini manakala 6 buah PPK lagi akan diberi bantuan pada hari ini. 

 

"Pada hari ini, saya mewakili MAFI akan menyampaikan sumbangan di PPK Kota Tinggi dan PPK Kota Tinggi Timur yang menjadi lokasi penyerahan sumbangan kepada 220 orang ahli peladang terdiri dari enam buah PPK keseluruhannya," katanya dalam satu kenyataan.

 

MAFI Prihatin telah dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan pada 21 Januari 2021 yang lalu di Wisma Tani Putrajaya.

 

Misi MAFI Prihatin di Johor diselaras oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

 

Tambah beliau, enam buah PPK yang terdiri daripada 220 orang penerima sumbangan pada hari ini adalah PPK Kota Tinggi, PPK Kota Tinggi Timur, PPK Johor Bahru Selatan, PPK Johor Bahru Timur, PPK Mersing dan PPK Endau. 

 

.

 

Sumbangan MAFI Prihatin pada kali ini disumbangkan oleh Jabatan & Agensi iaitu LPP, LPNM, DVS, DOF, LKIM, FAMA, MADA NAFAS, NEKMAT dan BERNAS. 

 

Barangan yang disumbangkan termasuk mesin pengisar, beras, minyak, gula, tepung, toto, dapur gas mini, sardin, Q-fish, buah nanas, susu pekat, telur, ikan bilis, mee, produk-produk iat, barangan pembersih diri dan lain-lain.

 

"Nilai bantuan MAFI Prihatin kepada kesemua 459 orang ahli peladang terjejas adalah sebanyak RM80,000 dan kita akan terus fokus dalam membantu petani, peternak dan nelayan di Johor dan seluruh negara yang terjejas dari segi perusahaan pertanian mereka melalui Tabung Bencana.

 

"Saya berharap agar semua ahli peladang sama-sama berganding bahu dan memberikan komitmen yang tinggi dalam meningkatkan pengeluaran dalam rantaian makanan khususnya bagi pengeluaran agromakanan," katanya lagi. - DagangNews.com