MITI bantu tingkatkan penglibatan PKS Bumiputera Sabah dalam rantaian bekalan global | DagangNews Skip to main content

MITI bantu tingkatkan penglibatan PKS Bumiputera Sabah dalam rantaian bekalan global

MOHAMED AZMIN ALI berucap pada majlis `Networking Breakfast' bersama usahawan-usahawan Bumiputera Sabah di Kota Kinabalu, hari ini. 
 

KOTA KINABALU 9 Ogos -  Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam sesi libat urus bersama industri di Sabah menyatakan komitmen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensi-agensinya untuk terus bekerja keras bagi memastikan pertumbuhan dinamik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera di Sabah yang terlibat di dalam sektor pembuatan.

Kagum dengan inisiatif, dedikasi dan kerja kuat PKS Bumiputera di Sabah, Azmin berkata, inisiatif untuk memperkasakan perusahaan di negeri ini adalah penting bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pendapatan untuk rakyat Sabah.

Perusahaan milikan wanita di Sabah juga mempunyai prospek untuk memberi anjakan kepada pertumbuhan ekonomi di negeri ini. MITI dan agensi-agensinya akan membantu memberi fasilitasi dalam bentuk pembangunan kapasiti, insentif pemotongan cukai untuk automasi serta program padanan perniagaan dengan pengimport luar negara,” katanya.

Beliau yang mengetuai delegasi MITI dalam sesi libat urus bersama pemain industri ini turut memberi pencerahan tentang program-program MITI dan agensinya dalam memudah cara peralihan PKS Bumiputera Sabah ke arah automasi dan pendigitalan.

Penerangan yang disampaikan juga adalah respon kepada isu-isu yang dibangkitkan PKS di sesi libat urus tersebut yang dihadiri 100 peserta daripada sektor-sektor seperti Makanan & Minuman, Agrikultur, Automotif dan tidak ketinggalan sektor Gas & Minyak, Pelancongan dan lain-lain perkhidmatan.

Antara isu-isu yang diketengahkan PKS dan wakil-wakil industri adalah berkaitan dengan penaiktarafan mesin, program sokongan akses pasaran luar negara untuk PKS termasuklah untuk usahawan muda, pensijilan halal serta halangan import berikutan sekatan pergerakan produk di rantaian bekalan dunia yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

amin
SEORANG daripada usahawan Bumiputera Sabah pada sesi soal jawab bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Kota Kinabalu, hari ini.


Antara maklumat program-program yang dikongsi sewaktu sesi libat urus ini adalah Program Penilaian Kesediaan Industry4WRD (RA) dan Intervensi Perniagaan Industry4WRD dari MITI; Dana Pelaburan Strategik Tempatan (DISF) dan Accelerated Capital Allowance dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA); serta Program eBizMatch, eTRADE dan Geran Pembangunan Pasaran (MDG) dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Menurut Azmin, PKS Bumiputera di Sabah perlu segera mengambil langkah untuk memulihkan operasi perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID19.

“PKS Sabah perlu mengambil peluang ke atas program-program yang disediakan MITI dan agensinya agar mereka dapat mengembalikan produktiviti mereka seperti sebelum COVID-19, dan memulakan transformasi yang mempersiapkan penglibatan mereka di dalam rantaian bekalan global.

"Ini adalah penting bagi memastikan manfaat daripada inisiatif-inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi PENJANA mendapat kesinambungan dan isu-isu utama pengoperasian seperti aliran tunai dan penempatan pekerja dapat diatasi segera,” kata beliau.

Azmin berkata, usaha-usaha daripada PENJANA telah berjaya membentuk satu ekosistem yang kondusif bagi PKS di Malaysia. Bantuan-bantuan yang diberikan seperti subsidi upah dan pelanjutan tempoh moratorium telah mengurangkan impak ekonomi kepada perusahaan tempatan.

“Penurunan kadar pengangguran negara daripada 5.3 peratus kepada 4.9 peratus selepas pembukaan semula hampir kesemua sektor ekonomi pada awal bulan Mei adalah petanda awal kepada pemulihan ekonomi negara,” ujar beliau.

Lawatan kerja ini adalah program berterusan MITI yang diketuai Azmin untuk meninjau dengan lebih menyeluruh impak ekonomi kepada industri-industri di seluruh Malaysia akibat penularan wabak COVID-19. Ini adalah susulan lawatan kerja beliau ke Johor dan Melaka pada bulan Julai.

Pada lawatan ke Sabah kali ini, delegasi MITI juga telah melawat sebuah Syarikat Peringkat Pertengahan di Sabah, Life Water Industries Sdn Bhd yang terletak di Kota Kinabalu Industrial Park. - DagangNews.com