MMA pertikai pendirian PAC `tiada siapa akan dipertanggungjawabkan' dalam isu kerosakan ventilator COVID-19 | DagangNews Skip to main content

MMA pertikai pendirian PAC `tiada siapa akan dipertanggungjawabkan' dalam isu kerosakan ventilator COVID-19

KUALA LUMPUR 31 Okt - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kebimbangan berhubung kenyataan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa `tiada pihak akan dipertanggungjawab' ke atas perolehan ventilator COVID-19 yang rosak.

 

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata ketiadaan dokumentasi yang betul dalam masa kritikal kerana negara berdepan pandemik COVID-19, sememangnya membimbangkan.

 

"Sekiranya Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd tidak mempunyai pengalaman dalam perolehan peralatan perubatan, (maka) lebih-lebih lagi, dokumentasi yang betul sepatutnya ditegaskan untuk ketelusan dan akauntabiliti.

 

"Bagaimana 104 daripada 136 ventilator yang dihantar tidak dapat digunakan tanpa mana-mana pihak yang dipertanggungjawabkan, menuntut penjelasan menyeluruh untuk rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

 MMA Dr Azizan Abdul Aziz
                       Dr Azizan Abdul Aziz

 

 

Dr Azizan juga berkata isu ini bukan sahaja melibatkan jumlah dana awam yang besar tetapi mungkin juga memberi impak yang ketara kepada pengurusan teruk kes COVID-19 di negara ini.

 

"Adalah penting bahawa isu ini tidak diketepikan, dan kita mesti bertegas dengan akauntabiliti sepenuhnya," tambahnya.

 

Dr Azizan juga berkata ini menyerlahkan keperluan mendesak untuk dasar perolehan kecemasan yang teguh bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang pada masa hadapan.

 

Pada Isnin, PAC mendedahkan tiada tindakan boleh diambil ke atas ventilator COVID-19 yang rosak yang dibekalkan kepada kerajaan, berikutan ketiadaan perjanjian bertulis antara Kementerian Kesihatan dan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd.

 

Dalam laporan yang disiarkan di laman webnya, PAC berkata PLSB juga diarah membuat bayaran pendahuluan bagi ventilator berikutan hubungan sedia ada dengan kementerian, walaupun tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam perolehan peralatan perubatan.

 

Pada April tahun ini, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata hampir 2.8 juta dos vaksin COVID-19 yang menelan kos sekitar RM81.4 juta telah tamat tempoh setakat 28 Feb.

 

Beliau berkata dos vaksin yang telah tamat tempoh daripada pelbagai jenama itu disimpan di kemudahan kementerian dan gudang penyimpanan untuk tujuan vaksin. - DagangNews.com