MMC Corp mungkin ambil alih pelabuhan lain untuk muncul pengendali terbesar di Malaysia | DagangNews Skip to main content

MMC Corp mungkin ambil alih pelabuhan lain untuk muncul pengendali terbesar di Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Penganalisis tidak menolak kemungkinan MMC Corporation Berhad (MMC Corp) akan mengambil alih pelabuhan lain untuk menjadi pengendali terbesar dalam industri tersebut, di Malaysia. 

 

Walaupun timbul cadangan untuk menswastakan MMC Corp, namun perolehan kumpulan dijangka tetap dipacu oleh perniagaan pelabuhan terutamanya Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) serta syarikat bersekutunya, Malakoff Corporation Berhad. 

 

Tambahan lagi, momentum pemulihan ekonomi ketika ini menerima manfaat daripada aktiviti perdagangan domestik dan global yang kembali beroperasi, jelas penganalisis di Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz. 

 

“Buat masa ini, portfolio pelabuhannya terdiri daripada PTP, Pelabuhan Johor, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Tanjung Bruas. 

 

“Oleh itu, kami tidak menolak kemungkinan pihak pengurusannya akan meneruskan usaha mengambil alih pelabuhan tambahan untuk melonjakkan profil mereka sebagai pengendali pelabuhan terbesar di dalam negara. 

 

“Kami mendapati walaupun jumlah pesanan buku pembinaannya pada masa ini kira-kira RM1.8 bilion (90% daripada projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 2, dijangka siap pada 2022), namun pihak pengurusan aktif membida projek baharu untuk memenuhi sasaran pengisian semula pesanan buku bernilai sekitar RM500 juta setiap tahun,” jelas Wan Mustaqim dalam satu nota kajian.

 

Pada separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21), MMC Corp mencatatkan peningkatan 10.4% dari segi hasil kepada RM2.29 bilion, sementara perolehannya melonjak 120.7% kepada RM298.5 juta. 

 

Ini terutamanya dipacu oleh jumlah yang dikendalikan di PTP serta Pelabuhan Utara yang lebih tinggi, tetapi direncatkan sedikit oleh perkembangan kerja-kerja yang perlahan daripada MRT Laluan Putrajaya dan projek pembentungan Langat serta jumlah penumpang yang rendah di Lapangan Terbang Senai. 

 

Bagi MIDF Research, prospek MMC Corp untuk baki sepanjang tahun ini kekal meyakinkan dan terus menjadi petanda baik bagi para pemain industri pelabuhan ketika ekonomi dunia semakin pulih. 

 

“Dalam pada itu, kami berpendapat peranan PTP sebagai hab pemindahan ke kapal akan melengkapi pelabuhan MMC Corp yang lain, di mana amat bergantung kepada kontena gerbang. 

 

“Tambahan pula, dengan Maersk, iaitu pengendali kontena kapal terbesar di dunia yang memiliki 30% kepentingan di dalam PTP, kami percaya bahawa syarikat perkapalan itu akan memastikan PTP akan terus menjadi hab pemindahan ke kapal di rantau ini, bagi memastikan kemampanan jumlah Unit Setara Dua Puluh Kaki (TEU),” jelas firma itu. 

 

MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ saham MMC Corp dengan harga sasaran (TP) dikekalkan pada kadar RM2 sesaham. - DagangNews.com