MNRB Holdings kembali catat untung bersih RM69.5 juta pada 1QFY24, berbanding kerugian bersih RM23.2 juta setahun lalu | DagangNews Skip to main content

MNRB Holdings kembali catat untung bersih RM69.5 juta pada 1QFY24, berbanding kerugian bersih RM23.2 juta setahun lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Sept - MNRB Holdings Berhad (MNRB) kembali mencatatkan keuntungan pada suku pertama berakhir 30 Jun 2023 (1QFY24) dengan untung bersih RM69.5 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM23.2 juta setahun lalu.

 

Hasil itu disumbangkan oleh pulangan yang membanggakan daripada portfolio pelaburannya, keuntungan pertukaran asing yang lebih tinggi hasil daripada lindung nilai efektif liabiliti kontrak insurans dan bahagian keputusan syarikat bersekutu.

 

"Walaupun keputusan perkhidmatan insurans dan takafulnya terjejas oleh pergerakan pertukaran asing perniagaan luar negara, ini diimbangi oleh pergerakan keuntungan nilai saksama yang lebih tinggi dalam pelaburannya, seiring dengan keadaan pasaran yang menggalakkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Perniagaan insurans semula kumpulan itu, Malaysian Reinsurance Berhad, mencatatkan untung bersih RM59.8 juta pada 1QFY23 berbanding rugi bersih RM7.8 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas didorong oleh hasil perkhidmatan insurans yang lebih tinggi dan pendapatan pelaburan bersih.

 

Perniagaan takaful kumpulan itu, Takaful Ikhlas Family Berhad mencatatkan peningkatan ketara dalam keuntungan bersih kepada RM4.7 juta daripada RM100,000 yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, dirangsang oleh pendapatan pelaburan yang lebih tinggi.

 

Untung bersih Takaful Ikhlas General Berhad meningkat 52.3% kepada RM7.3 juta daripada RM4.8 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya didorong oleh hasil takaful yang lebih tinggi.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Zaharudin Daud berkata, kumpulan itu telah memulakan tahun kewangan baharu yang kukuh dan menyampaikan prestasi membanggakan bagi suku pertama dengan pertumbuhan kukuh dalam hasil insurans dan takaful serta pendapatan pelaburannya.

 

“Kami optimis kumpulan itu akan terus menjana keputusan yang mampan dalam prestasi kewangannya untuk sepanjang tahun kewangan ini.

 

"Kumpulan itu akan terus meneruskan pengembangan ekonomi global dan tempatan sambil menyampaikan nilai luar biasa kepada pemegang kepentingan kami," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek masa hadapan, Zaharudin berkata, kumpulan kekal komited untuk memacu lebih banyak jumlah perniagaan melalui salurannya dan menggabungkan pendigitalan dalam operasinya bagi meningkatkan kecekapan serta menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih baik.

 

Kumpulan itu juga akan terus mengukuhkan pertumbuhan melalui inisiatif strategiknya yang merangkumi pengembangan dan kepelbagaian portfolio perniagaan insurans semulanya, mengembangkan perniagaan takaful sumbangan bukan motor dan tetapnya serta mengukuhkan pengalaman perkhidmatan pelanggannya dan tenaga Agensi Takaful Keluarga. - DagangNews.com