KUALA LUMPUR 29 Ogos - Destini Bhd mengumumkan peletakan jawatan pengarah urusannya, Datuk Mohd Zahir Zahur Hussain, berkuat kuasa Isnin.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu berkata Mohd Zahir, 48, melepaskan jawatan itu "untuk mengejar kepentingan peribadi dan komitmen lain".
Mohd Zahir dilantik ke lembaga pengarah Destini sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif pada Oktober 2020. Beliau dilantik semula sebagai pengarah urusan pada 1 Mac tahun ini.
Beliau pernah memegang jawatan pengarah di Mycron Steel Bhd dan Universiti Malaya.
Sebelum itu, beliau juga merupakan pengarah di Pharmaniaga Bhd, Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Bersepadu Prasarana dan pegawai kewangan kumpulan Prasarana Malaysia Bhd.
Dalam makluman berasingan, Destini mengumumkan pelantikan Datuk Kabol Surat dan Ismail Mustaffa sebagai pengarah eksekutif baharu kumpulan itu. - DagangNews.com