Momentum pendapatan Kelington dijangka berterusan pada suku kedua disokong tempahan terkumpul yang besar - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Momentum pendapatan Kelington dijangka berterusan pada suku kedua disokong tempahan terkumpul yang besar - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - RHB Investment menjangkakan momentum pendapatan Kelington Group Berhad berterusan pada suku kedua 2023 disokong oleh tempahan terkumpul yang cukup besar.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen ketulenan ultra tinggi (UHP) dan gas perindustrian juga akan menyaksikan margin keuntungan kumpulan itu menjadi lebih baik.

 

"Kami menjangkakan suku kedua yang lebih baik disokong oleh kadar tempahan kukuh sebanyak RM2.3 bilion pada  akhir April 2023.

 

"Kumpulan itu dijangka melihat perkembangan pendapatan teras dua digit untuk suku kedua tahun ini memandangkan segmen UHP membentuk sebahagian buku pesanan yang lebih besar dan kami melihat margin kasar yang semakin kukuh," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan berkata, pengembangan fasa dua loji karbon dioksida cecair (LCO2) di landasan untuk siap pada suku ketiga 2023 dengan pengeluaran akan bermula pada suku keempat tahun ini.

 

Katanya, perluasan itu sepatutnya menyaksikan kapasiti tambahan sebanyak 70,000 tan menjadikan kumpulan itu sebagai pengeluar LCO2 terkemuka di Malaysia.

 

"Kami melihat penggunaan kilang itu mencecah 30% menjelang akhir tahun, dengan kenaikan tahunan sebanyak 20% hingga 30%," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.51 sesaham.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa cabaran termasuk pendapatan dan penambahan buku pesanan yang lebih lemah daripada jangkaan, kelewatan dalam pelaksanaan projek dan penurunan penarafan dalam sektor teknologi. - DagangNews.com