Mora sedia terima apa sahaja keputusan termasuk kehilangan jawatan | DagangNews Skip to main content

Mora sedia terima apa sahaja keputusan termasuk kehilangan jawatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora bersedia untuk menghadapi apa sahaja keputusan termasuk kehilangan jawatan selepas skuad Harimau Selatan tewas 0-2 kepada Kl City FC (KL City) dalam saingan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

 

Beliau berkata, keputusan mengenai masa depannya bergantung kepada pihak pengurusan dan ia adalah di luar bidang kawalannya.

 

"Perkara itu mungkin (kehilangan jawatan) tetapi bukan saya yang tentukan. Apa yang boleh saya katakan, saya mempunyai hubungan baik dengan pengurusan serta pemain.

 

"Jika pihak pengurusan atau TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) menyatakan itu adalah penyelesaiannya, mereka akan maklumkan kepada saya," katanya.

 

Aksi final itu menyaksikan Harimau Selatan gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka selepas skuad City Boys berjaya meledak dua jaringan menerusi Zahfri Yahya dan Paulo Josue untuk memastikan kemenangan bersempena sambutan ulang tahun ke-100 piala berprestij itu.

 

Mora mengakui, mereka tidak pernah memandang rendah kemampuan KL City walaupun mereka diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjadi juara.

 

kls

 

Walaupun keputusan perlawanan itu tidak memihak kepada mereka, namun pemain sudah menampilkan aksi terbaik sepanjang 90 minit permainan.

 

"Jika kami tidak kalah, tidak merasai perasaan sedih seperti malam ini, mungkin sukar untuk berkembang, sukar untuk mengalami evolusi dan sukar untuk melihat bahawa kami perlu melakukan sesuatu untuk terus menguasai,” katanya. - Dagangnews.com