KUALA LUMPUR 6 Jan - Permintaan untuk minyak sawit Malaysia dipercayai meningkat sekiranya Indonesia meneruskan rancangan menaikkan levi eksport bagi menyokong mandat biodiesel yang lebih tinggi, kata TA Securities.
Katanya, langkah menaikkan levi eksport kepada 10% akan menambah AS$26.49 bagi setiap tan, menjadikan minyak sawit mentah (MSM) Indonesia lebih mahal daripada produk Malaysia.
Firma penyelidikan itu berkata, harga minyak sawit Indonesia sudah pun berada pada premium AS$146.30 setiap tan melebihi harga Malaysia.
"Kami percaya cukai dan duti eksport MSM Indonesia yang agak tinggi boleh mendorong permintaan ke arah MSM Malaysia, menyokong harga dan bahagian pasarannya,” katanya dalam satu nota kajian.
TA Securities berkata, cadangan kenaikan levi eksport Indonesia datang berikutan kelewatan dalam pelancaran mandat B40, yang meningkatkan gabungan metil ester berasaskan sawit dengan diesel petroleum tradisional kepada 40% daripada 35% pada masa ini.
Katanya, kenaikan harga minyak makan yang digunakan dalam segala-galanya daripada gincu kepada susu formula bayi juga telah mengancam daya maju mandat itu.
Firma penyelidikan itu berkata, program itu, yang pada mulanya dijadualkan pada 1 Januari 2025, dijangka menyerap keluaran domestik di tengah-tengah stok simpanan yang semakin meningkat dan menyokong peralihan tenaga Indonesia.
Premium minyak sawit berbanding petrol telah melonjak kepada kira-kira AS$305 setiap tan, lebih tiga kali ganda purata dalam tempoh tiga tahun dan lima tahun lalu.
"Pasaran semakin bimbang sama ada dana subsidi biodiesel Indonesia boleh merapatkan jurang harga antara biodiesel dan diesel dengan secukupnya," katanya.
Agensi Pengurusan Dana Perladangan Kelapa Sawit Indonesia mengunjurkan keperluan pembiayaan sebanyak 47 trilion rupiah Indonesia untuk 2025, jauh melebihi jangkaan pendapatannya sehingga 21 trilion rupiah.
TA Securties berkata, pelaksanaan B40 di Indonesia mungkin mengambil masa untuk menjadi kenyataan, mungkin berlaku pada separuh kedua 2025 kerana memerlukan usaha penambahbaikan infrastruktur, pelarasan rantaian bekalan, logistik dan cabaran pendanaan. - DagangNews.com