KUALA LUMPUR 23 Julai - Anak syarikat milik penuh Managepay Systems Bhd (MPay), ManagePay Services Sdn Bhd (MPSB) telah menerima kelulusan daripada Bank Negara untuk Lesen Kelas A bagi mengendalikan perkhidmatan wang, termasuk pertukaran wang dan mengeluarkan kad dan dompet prabayar pelbagai mata wang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Managepay berkata kelulusan daripada Bank Negara untuk menjalankan perniagaan perkhidmatan wang Kelas A selama setahun, bermula dari 18 Julai 2024 hingga 17 Julai 2024 dan boleh diperbaharui setiap tahun, menurut Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta MSB 2011).
Lesen Kelas A akan membolehkan MPSB menjalankan perniagaan pertukaran wang melalui e-wang, iaitu kad prabayar Mastercard berbilang mata wang dan dompet berbilang mata wang di bawah Seksyen 7 Akta MSB 2011 sebagai tambahan kepada Lesen Perniagaan Perkhidmatan Wang Kelas B (pengiriman wang perniagaan) yang diberikan kepada MPSB sebelum ini.
Ia juga akan dapat menyediakan perkhidmatan pertukaran wang secara digital melalui aplikasi mudah alih di bawah Seksyen 21 Akta MSB 2011 dan mengeluarkan e-wang melalui kad prabayar Mastercard berbilang mata wang dan dompet berbilang mata wang dengan jumlah had bersamaan RM35,000 untuk setiap pelanggan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Managepay menjangkakan kelulusan itu akan menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25) dan seterusnya. - DagangNews.com