MPOB : Malaysia amalkan teknik pembakaran sifar | DagangNews Skip to main content

MPOB : Malaysia amalkan teknik pembakaran sifar

Terdapat banyak pemacu kepada aktiviti penebangan hutan dan kajian mendedahkan bahawa sawit bukanlah punca utamaberlakunya aktiviti penebangan hutan.

KUALA LUMPUR 17 Nov - Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia telah mengamalkan teknik pembakaran sifar dan telah mengenakan larangan ke atas pembakaran terbuka pada 1998.

 

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, dasar pembakaran sifar ditetapkan di bawah Amalan Pertanian Baik (GAP) dan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

 

"Malaysia telah lama dikaitkan dengan penebangan hutan hujan tropika dan pembakaran tanah gambut dan menyebabkan pencemaran udara. Pembakaran hutan tropika adalah dilarang dan bertentangan dengan undang-undang Malaysia.

 

"Negara juga mengakui peningkatan tahap dan kekerapan kebakaran tanah gambut yang dikaitkan dengan jerebu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan untuk menyelaras langkah-langkah agensi kerajaan dalam menangani masalah pembakaran terbuka dan jerebu di negara ini.

 

 

 

Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Ahmad Parveez Ghulam Kadir

 

 

Jelas Ahmad Parveez, pengawalseliaan paras air tinggi antara 40 sm dan 60 sm adalah salah satu elemen utama dalam Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) untuk mengawal kebakaran hutan.

 

“Pengurusan yang baik dilaksanakan bagi mengurangkan kesan penanaman sawit di kawasan gambut di Malaysia. 

 

"Peraturan paras air adalah kritikal dan sedang dilaksanakan di kawasan tanah gambut yang ditanam dengan pokok sawit,” katanya.

 

Malaysia telah menerima pakai beberapa dasar utama termasuk melarang penanaman baharu sawit di kawasan tanah gambut dan mengukuhkan peraturan mengenai penanaman sawit sedia ada di tanah gambut. 

 

Dasar itu juga menyaksikan pengehadan jumlah kawasan penanaman sawit kepada 6.5 juta hektar bagi memastikan penanaman sawit mampan.

 

Langkah-langkah juga sedang dilaksanakan untuk meningkatkan pengurusan mampan landskap pengeluaran di tanah gambut melalui penetapan sasaran untuk pensijilan mandatori semua ladang dan pengeluaran pekebun kecil di atas tanah gambut (dan tanah lain) di bawah MSPO mulai 1 Januari 2020. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Skim MSPO juga menggariskan langkah-langkah untuk meningkatkan kemampanan sektor komoditi dan pengurusan hutan.

 

Kajian telah dijalankan ke atas tanah gambut di Malaysia khususnya untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan sistem pengurusan mampan di tanah gambut adalah disyorkan.

 

Pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan Tanah Gambut dan strategi, dasar dan pelan tindakan berkaitan diharap mengurangkan pelepasan GHG yang berkaitan dengan saliran dan pembakaran hutan tanah gambut serta menambah baik pengurusan sistem perladangan dan pertanian dalam landskap yang disasarkan.

 

Malaysia juga melaksanakan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2016-2025) sejajar dengan Sasaran Biodiversiti Aichi 2020. 

 

Malah, Malaysia komited untuk memasukkan elemen Rangka Kerja Biodiversiti Global Pasca-2020 (Pasca-2020 GBF) ke dalam dasar biodiversiti kebangsaan sedia ada. 

 

GBF Pasca-2020, yang menyenaraikan matlamat, sasaran dan petunjuk yang akan menggantikan Sasaran Biodiversiti Aichi 2020 yang berakhir pada 2020.

 

 

gambar hiasan

 

 

Menurut beliau, Malaysia juga komited dalam menggalakkan pemuliharaan dan peningkatan stok karbon dalam hutan dan penggunaan tanah lain, dan menyokong pertanian pintar iklim. 

 

Industri sawit Malaysia melaksanakan inisiatif pemuliharaan hutan dan menambah baik amalan perladangan. 

 

"Penggiat sawit utama termasuk Sime Darby, IOI Group, dan Wilmar telah menyumbang dana untuk pemuliharaan alam semula jadi dan perlindungan spesies. 

 

"Ladang-ladang ini juga mewujudkan kawasan bernilai konservasi tinggi (HCV) dalam ladang untuk tujuan pemuliharaan biodiversiti. 

 

"Sebagai contoh, Ladang Sime Darby telah memperuntukkan 5,779 hektar kawasan HCV untuk perlindungan biodiversiti," jelasnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Ahmad Parveez berkata, terdapat banyak pemacu kepada aktiviti penebangan hutan dan kajian mendedahkan bahawa sawit bukanlah punca utama penebangan hutan. 

 

Katanya, ini disahkan lagi oleh laporan Kesatuan Saintis Prihatin (Union of Concerned Scientists) yang menyatakan bahawa industri ternakan, soya dan hasil kayu menyebabkan jumlah kehilangan hutan yang lebih tinggi berbanding sawit.

 

“Sawit menyebabkan jumlah kehilangan hutan paling rendah, justeru, adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa industri sawit adalah satu-satunya penyumbang besar kepada isu alam sekitar dan pemanasan global.

 

"Ini kerana terdapat banyak lagi aktiviti ekonomi yang bertanggungjawab dan menyumbang kepada isu pemanasan alam sekitar dan global,” katanya.

 

Menurut laporan, kadar penebangan hutan di Malaysia juga telah menurun, bagi tempoh 1991 hingga 2000, kadar penebangan hutan adalah pada 0.27% dan menurun kepada 0.09% bagi tempoh 2001 hingga 2010. Dari tahun 2010 hingga 2015, kawasan hutan telah meningkat sebanyak 2% kepada 18.25 juta hektar.

 

“Kadar penebangan hutan mula menurun pada 2016, disebabkan pelaksanaan MSPO yang diwajibkan mulai 1 Januari 2020,” jelasnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

State of the World’s Forests 2020 melaporkan bahawa jumlah penebangan hutan telah menurun secara global, sekali gus membuktikan bahawa keseimbangan antara pemuliharaan biodiversiti dan penggunaan lestari hutan atau pembangunan memang wujud.

 

“Berdasarkan perspektif komitmen Malaysia termasuk Pensijilan MSPO, penurunan kadar penebangan hutan utama di Malaysia selama empat tahun berturut-turut, dari 2017 hingga 2020 mungkin telah menyumbang ke arah aliran menurun global,” katanya.
 

Penebangan hutan hujan asli adalah dilarang untuk tujuan pertanian. Beberapa kawasan hutan hujan di Malaysia telah diwartakan dan perluasan tanah untuk sebarang tujuan adalah dilarang. 

 

Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) perlu dijalankan dan disemak oleh kerajaan untuk sebarang pembukaan tanah baharu.

 

Komitmen Malaysia ke arah memulihara kepelbagaian biologi dan pengurusan hutan yang mampan dapat diterjemahkan melalui ikrar yang dibuat semasa Sidang Kemuncak Bumi Rio pada tahun 1992 - untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada hutannya. 

 

Kawasan hutan di Malaysia dilaporkan pada 58.18% daripada jumlah keluasan tanah pada 2020, menurut Bank Dunia.

 

Berdasarkan State of the World's Forests (SOFO) Pertubuhan Makanan dan Pertanian, 22 negara termasuk Malaysia telah berjaya meningkatkan tahap keselamatan makanan negara dan pada masa yang sama mengekalkan peningkatan litupan hutan, menunjukkan bahawa hutan tidak perlu ditebang untuk menghasilkan lebih banyak makanan.

 

Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia masih disenaraikan sebagai 12 negara megadiverse teratas di dunia. 

 

Ia bertanggungjawab ke arah melindungi dan memulihara kekayaan biodiversiti dan endemisme yang berharga di negara ini. - DagangNews.com