MPOB terima pengiktirafan SAMM  | DagangNews Skip to main content

MPOB terima pengiktirafan SAMM 

 

 

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), baru-baru ini menerima pengiktirafan Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) dari Jabatan Standard Malaysia.

 

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penganugerahan sijil akreditasi ini dapat memartabatkan hasil kajian dan analisis makmal MPOB di peringkat antarabangsa.

 

Anugerah ini, katanya, bagi mengiktiraf kecekapan Sistem Pengurusan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan di Unit Analitikal dan Pembangunan Kualiti, Bahagian Penyelidikan Pembangunan Produk dan Khidmat Nasihat, MPOB.

 

Kesemua makmal di Unit Analitikal dan Pembangunan Kualiti menjalankan analisis penyelidikan pembangunan yang merangkumi aktiviti pengujian, penganalisaan dan penentusahan termasuklah untuk menangani isu berkaitan keselamatan makanan dan kualiti minyak sawit.

 

Makmal Keselamatan Makanan yang telah dibangunkan pada 2010, berperanan untuk memastikan keselamatan minyak sawit Malaysia terjamin dari segi mutu dan kualiti selain turut menyediakan perkhidmatan analisa serta khidmat nasihat teknikal kepada pihak industri sawit dan imakanan. 

 

“Berlandaskan matlamat pembangunan Makmal Keselamatan Makanan, kami menitikberatkan aspek pengurusan kualiti dalam setiap analisis yang dijalankan. 

 

"Dengan komitmen yang diberikan, Makmal Keselamatan Makanan berjaya memperoleh Sijil Akreditasi Makmal Malaysia yang pertama daripada Jabatan Standard Malaysia pada tahun 2010, iaitu akreditasi ISO/IEC 17025:2005 untuk analisa paraquat atau racun rumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bermula 2017, Jabatan Standard Malaysia telah membuat semakan semula untuk penambahbaikan mutu skim ISO/IEC 17025:2005. 

 

Aspek analisis risiko diperkenal dan diterapkan di dalam pensijilan baru iaitu ISO/IEC 17025:2017. 

 

Di samping itu, terdapat penambahan prosedur penting serta klausa baharu diperkenalkan oleh pihak Sijil Akreditasi Makmal Malaysia.  

 

Menurut beliau, bagi memastikan Makmal Keselamatan Makanan sentiasa berada di landasan yang betul dalam menawarkan perkhidmatan analisis kepada industri sawit, usaha bagi proses peralihan daripada ISO/IEC 17025:2005 ke ISO/IEC 17025:2017 bermula sejak 2018. 

 

Pada tahun lalu, Makmal Keselamatan Makanan MPOB berjaya memperbaharui akreditasi ISO/IEC 17025:2017 hasil daripada peralihan ISO/IEC 17025:2005 bagi analisis sisa paraquat.  

 

Makmal telah menunjukkan kecekapan teknikalnya untuk beroperasi sesuai dengan MS ISO / IEC 17025:2017 (ISO / IEC 17025:2017).

 

Makmal Keselamatan Makanan MPOB juga berjaya menambah skop akreditasi ISO/IEC 17025:2017 kepada 3 analisis iaitu kandungan klorida, kandungan ester 2- dan 3-monokloropropan-1,2-diol (2- dan 3-MCPDE) dan ester glisidil (GE) serta kandungan elemen surih seperti phosphorus, iron dan copper. 

 

"Penambahan skop bagi 3 analisis ini sangat penting kepada MPOB dan industri sawit," jelas beliau lagi. 

 

Ini memandangkan isu kandungan pencemaran 3-MCPDE dan GE, terutama pelaksanaan tahap maksima GE dan 3-MCPDE telah dikuatkuasakan oleh Kesatuan Eropah bermula Mac 2018 dan Januari 2021. - DagangNews.com