KUALA LUMPUR 3 Nov - MSM Malaysia Holdings Berhad mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Dr Mazatul 'aini Shahar Abdul Malek Shahar diletakkan dalam `cuti sementara' berkuat kuasa 20 Oktober 2023 hingga 15 Disember 2023 atau sehingga notis lanjut daripada Lembaga Pengarah.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, syarikat pengeluar gula itu berkata, Lembaga Pengarah menyatakan 'cuti sementara' beliau adalah perlu bagi memudahkan siasatan dalaman yang berlangsung.
Syarikat itu menambah, MSM akan meneruskan operasi perniagaannya seperti biasa.
"Pengumuman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat perkembangan material mengenai perkara ini," kata MSM lagi.
Mazatul, 51, yang menyertai MSM pada Disember 2022, sebelum itu merupakan CFO kumpulan Proton Holdings Bhd, sebelum penggabungan dengan Zhejiang Geely Holdings Group.
Sebelum itu, beliau adalah CFO untuk Nationwide Express Courier Services Bhd. - DagangNews.com