KUALA LUMPUR 7 Sept - Rakuten Trade Research menjangkakan MST Golf Group Berhad mencatatkan peningkatan semula dalam jualan runcit pada 2HFY23 didorong peningkatan terhadap bola, sarung tangan, kasut dan pakaian golf.
Firma penyelidikan itu berkata, usaha seterusnya melibatkan pelaksanaan berterusan pusat golf dan aktiviti promosi jualan yang agresif pada separuh kedua tahun ini akan meningkatkan margin keuntungan kumpulan.
"MST Golf mencatatkan penurunan dalam keseluruhan pesanan jualan, disebabkan perubahan dalam kepimpinan dan semakan dasar perolehan dalaman dan pengurusan inventori mereka oleh salah seorang pemborong.
"Perlu diperhatikan bahawa jualan golf lazimnya mengalami permintaan yang lebih lemah pada bulan Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri yang jatuh pada suku kedua tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kehadiran pemain golf baharu akan membantu MST Golf mengekalkan kedudukan dominan di dalam pasaran dengan memanfaatkan usaha pengembangan serantau dan domestik.
Sehingga 1HFY23, MST Golf telah pun membuka tiga kedai baharu dengan sebuah lagi (Johor Bahru) dijadual memulakan operasi menjelang 4QFY23, menjadikan jumlah kedainya daripada 35 kepada 39.
Rakuten Trade berkata, pelan pengembangan MST Golf berada di landasan tepat dengan dua kedai baharu di Indonesia akan dibuka dalam beberapa bulan akan datang.
Katanya, bersama PT Sinar Eka Selaras untuk kepakaran tempatannya terus menunjukkan keyakinan terhadap keuntungan tambahan usaha pengembangan serantaunya.
Memandangkan perjanjian penyewaan di Indonesia lazimnya mempunyai tempoh selama lima tahun, sebarang peningkatan dalam jualan melebihi paras pulang modal akan mendorong kepada pengembangan margin.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 71 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com