MUDA gagal pikat hati pengundi dalam Pilihan Raya Negeri 2023 | DagangNews Skip to main content

MUDA gagal pikat hati pengundi dalam Pilihan Raya Negeri 2023

Oleh Muhammad Haridz Hilmi H Tuah Khatib

PERCATURAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam PRN 2023 menyaksikan kegagalan parti yang diwakili anak muda dalam merebut mana-mana kerusi DUN menyebabkan mereka hilang kesemua wang deposit yang dipertaruhkan.

 

Menerusi ciapan media sosial, MUDA dikatakan hanya melakukan pecah undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada kali ini setelah gagal memenangi semua kerusi yang ditandingi.

 

MUDA yang diketuai Syed Saddiq mempertaruhkan 20 calon pada PRN Yang berlangsung di 6 negeri namun gagal untuk memenangi walaupun satu kerusi.

 

Majoriti calon yang dipertandingkan oleh MUDA pada kali ini adalah di Selangor iaitu sebanyak 14 kerusi.

 

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)

 

MUDA yang mempertaruhkan 14 calon di Kuala Kubu Baharu, Taman Templer, Bukit Antarabangsa, Pandan Indah, Dusun Tua, Seri Serdang, Subang Jaya, Seri Setia, Bukit Gasing, Bandar Utama, Kota Anggerik, Batu Tiga, Sentosa dan Sungai Kandis.

 

Namun begitu, kesemua 20 calon yang bertanding gagal untuk memenangi sebarang kerusi yang ditandingi.

 

Biarpun mereka gagal untuk memenangi sebarang kerusi yang ditandingi, perkara yang menjadi tanda tanya adalah jumlah undi yang diperoleh MUDA.

 

Keputusan MUDA untuk bertanding sendiri dalam PRN15 ini bukan sahaja menjadi persoalan malah membangkitkan kemarahan dikalangan penyokong Kerajaan Gabungan (PH-BN).

 

Adakah motif MUDA pada PRN di 6 negeri ini untuk mengurangkan undi PN atau PH-BN?

 

MUDA yang pada ketika ini masih berada di dalam kerajaan turut menimbulkan tanda-tanya rakyat Malaysia oleh kerana tidak menjelaskan sama ada mereka berada di pihak kerajaan ataupun pembangkang.

 

MUDA yang mengatakan mereka ingin membawa ‘politik baharu’ atas asbab ingin membawa polisi baharu di dalam sistem politik Malaysia.

 

Rata-rata bersetuju jika dikatakan pengundi tidak memilih calon MUDA pada PRN baru-baru ini kerana berdasarkan pengalaman parti itu sendiri yang baru 'setahun jagung' dalam kancah politik negara.

 

 

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)

 


Parti yang telah ditubuhkan pada 2020 ini disifatkan belum terserlah kekuatannya dan keputusan untuk bertanding secara sendirian, hanya bertujuan untuk menunjukkan protes kepada kerajaan sedia ada.

 

Selain itu, mereka tampak sukar meraih undi di negeri majoriti pengundi Melayu kerana sering dikaitkan dengan ideologi yang bersifat liberal terutama ketika mengetengahkan objektif dan matlamat mereka.

 

MUDA sehingga kini juga dilihat masih belum mampu untuk memenangi hati pengundi, termasuk dalam kalangan orang muda sendiri.

 

Pada pemerhatian umum, MUDA seharusnya belajar dan faham gerak geri dalam arena politik negara terlebih dahulu.

 

Mereka tidak sewajarnya terburu-buru, malah apa yang seharusnya dilakukan adalah bergabung dengan mana-mana gabungan yang lebih kuat seperti PH-BN atau PN.

 

Hal ini kerana, dalam situasi politik negara ketika ini, sesuatu parti itu sukar untuk mendominasi jika hanya bersendirian kerana untuk menjadi dominan seperti apa yang dilakukan BN sebelum ini memerlukan proses yang panjang.

 

MUDA perlu bijak dalam melakukan perancangan terutama ketika menetapkan calon untuk bertanding di sesebuah kawasan,

 

Sebaiknya pilih calon yang mempunyai pengaruh  besar di kawasan dipertandingkan agar wujud rasa percaya dalam diri pengundi melihatkan kepada kredibiliti yang ada pada calon yang dipilih.

 

 

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)

 

 

Untuk masa akan datang, MUDA seharusnya membuktikan kepada pengundi terutamanya kredibiliti calon mereka yang bertanding di kawasan yang dipertaruhkan MUDA.

 

Dengan merangka baik manifiesto yang ingin dibawa, MUDA mampu untuk memperbaiki serta menambah baik kawasan yang dipertandingi.

 

MUDA perlu menunjukkan kepada pengundi bahawa MUDA mempunyai  pegangan yang kuat dalam parti  agar pengundi percaya MUDA  adalah salah satu pilihan yang terbaik mewakili  rakyat.

 

Selain itu, MUDA haruslah memberikan satu status quo terutamanya tentang keburukan yang ada di kawasan yang dipertanding mereka.

 

Dengan cara ini, pengundi dapat lihat dengan mata kasar mereka perkara yang mampu mengubah persepsi mereka terutamanya terhadap perkara yang ditawarkan oleh MUDA dan tidak ditawarkan oleh mana-mana parti yang lain.

 

MUDA juga wajar membawa satu hala tuju yang jelas ketika mereka berkempen. Cara ini sekaligus mampu untuk membantu MUDA meyakinkan sasaran undi mereka terhadap perkara utama yang ingin dicapai oleh MUDA.

 

MUDA perlu memandang lebih jauh pada masa akan datang terutamanya dengan tindak-tanduk yang dilakukan mereka supaya mereka tidak memakan diri mereka pada pilihanraya yang akan datang.

 

Dengan cara ini MUDA mampu untuk menunjukkan kepada pengundi bahawa mereka adalah bakal tonggak utama negara yang ada pada masa akan datang. - DagangNews.com

 

Muhammad Haridz Hilmi Bin H Tuah Khatib adalah Mahasiswa Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka