RONALD KIANDEE (dua dari kiri, depan) memotong reben pada majlis pelancaraan MBB di Lobi Wisma Tani hari ini.
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 3 Mei - Program My Best Buy (MBB) yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM76.84 juta sejak dibangunkan pada 2014 hingga tahun lalu.
Ini melibatkan 2,746 usahawan dengan jumlah pengunjung seramai 4.5 juta, menurut kenyataan media Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee hari ini, MBB juga mampu mewujudkan ruang pasaran kepada usahawan baharu dan sedia ada terutamanya dari kumpulan agropreneur muda dan B40.
“Lima matlamat utama MBB adalah menjadi antara pusat pemasaran hasil pertanian keluaran setempat secara terus kepada pengguna; penjimatan di antara 5% hingga 20% bagi produk agromakanan yang terpilih iaitu lebih murah dari harga pasaran.
“Pelancaran MBB di Lobi Wisma Tani di sini (Putrajaya), merupakan salah satu program yang dilaksanakan oleh FAMA bagi membantu rakyat di kawasan bandar dan luar bandar menangani kesan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“MBB diwujudkan sebagai lokasi untuk usahawan dan pengilang tempatan bagi mempromosi produk keluaran yang terkini dengan kualiti yang lebih baik dan MBB juga menawarkan satu kaedah pembayaran terkini iaitu secara digital di beberapa lokasi terpilih,” jelas kementerian itu, hari ini.
Tambah MAFI, bagi memperluaskan lagi MBB pada tahun ini, program berkenaan turut difokuskan kepada lokasi di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, kem tentera, Program Perumahan Rakyat (PPR), kawasan perumahan serta pejabat kerajaan.
Antara lokasi tersebut adalah di Universiti Malaysia Pahang; Universiti Sains Islam Malaysia, Negeri Sembilan; Kem Terendak Sg Udang, Melaka; Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, PPR Rugading dan PPR Telipok Ria di Sabah, kuaters perumahan polis dan perkarangan muzium di seluruh negara.
Pada majlis sama, Ronald turut melancarkan Buku Inspirasi Agropreneur Muda dan Buku Lembaran 2020 yang pertama kali diterbitkan bagi penerima bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) bermula pada tahun 2016 hingga tahun 2020.
Seramai 198 usahawan telah dipilih oleh jabatan dan agensi dibawah MAFI di mana buku berkenaan juga akan menjadi panduan dan rujukan kepada semua pihak terutama para agropreneur muda di seluruh negara.
Menurut MAFI lanjut, Kiandee juga mendedahkan program pembiayaan Agro-YES telah meraih sebanyak 196 permohonan dalam masa 40 hari.
Sebagai rekod, Agro-YES berjumlah RM21 juta yang telah dilancarkan pada 18 Mac lalu merupakan salah satu inisiatif MAFI melalui Agrobank untuk menarik minat lebih ramai golongan muda berumur 18 hingga 40 tahun bagi mengembangkan projek pertanian atau agromakanan mereka yang sedia ada.
“Daripada jumlah permohonan tersebut, 94 permohonan telah diluluskan manakala empat permohonan lagi telah diproses dan hanya menunggu kelulusan. Ini akan menjadikan jumlah keseluruhan pemohon yang berjaya mendapat pembiayaan kali ini adalah 98 orang,” jelas beliau. - DagangNews.com