KUALA LUMPUR 13 Nov - Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Perkara itu disahkan peguamnya, Datuk Gurdial Singh Nijar.
Difahamkan, beliau meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan pagi ini.
Daim merupakan ahli perniagaan yang bertukar menjadi ahli politik, berkhidmat sebagai Menteri Kewangan antara 1984 hingga 1991 dan kemudian antara 1998 hingga 2001.
Allahyarham yang berasal dari Alor Star, Kedah, juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.
Allahyarham pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen Kuala Muda pada 1982, setahun selepas sekutu lamanya, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
Kemudian, Allahyarham bertanding dan memenangi kerusi Merbok, mempertahankan Umno dan Barisan Nasional (BN) selama empat penggal berturut-turut.- DagangNews.com