MyJet Express terima ATR tertinggi bagi suku pertama 2021 | DagangNews Skip to main content

MyJet Express terima ATR tertinggi bagi suku pertama 2021

Gambar Facebook MyJet Xpress Airlines

 

 

KUALA LUMPUR 19 April - MyJet Xpress Airlines Sdn. Bhd. menerima jumlah kelulusan Hak Trafik Udara (ATR) tertinggi dengan 12 daripada 24 permohonan yang diterima Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bagi suku pertama tahun ini. 

 

Malaysia Airlines Berhad, AirAsia Group dan Raya Airways Sdn. Bhd. masing-masing pula menerima  enam, empat dan dua ATR. 

 

Bagi tempoh itu, permohonan ATR mencatat kelulusan 100% dengan 24 permohonan. Daripada jumlah itu, 21 peruntukan ATR adalah bagi laluan antarabangsa sementara baki  tiga  ATR lagi adalah untuk laluan domestik. 

 

Kadar permohonan ATR telah berkurangan sebanyak 51.7% berbanding 43 permohonan ATR bagi suku terakhir 2020.

 

Namun, bagi suku sama tahun lalu, permohonan ATR menampakkan kenaikan sebanyak 33.33% dengan 18 permohonan kesemuanya. 

 

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, pihaknya akan terus menganalisis cabaran yang dihadapi oleh syarikat  penerbangan berikut pandemik COVID-19.

 

Selain itu, katanya, Mavcom bersedia membantu dan menyokong pemulihan sektor penerbangan dengan kelonggaran syarat ATR tersebut sehingga syarikat penerbangan kembali  beroperasi sepenuhnya. 

 

"Mavcom juga jelas melihat perkembangan segmen kargo yang sihat seiring dengan keperluan logistik yang semakin meningkat. 

 

"Ini menunjukkan ketangkasan dan daya ketahanan sektor yang kuat dalam mengatasi kesan teruk pandemik sementara kita menantikan perkembangan positif bagi sektor penerbangan negara," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Suku pertama tahun ini juga merupakan keadaan luar biasa kerana tiada ATR tamat tempoh direkodkan berikutan langkah-langkah yang dilaksanakan Mavcom bagi meringankan cabaran yang dihadapi syarikat penerbangan semasa pandemik COVID-19. 

 

Mavcom telah melonggarkan satu syarat ATR iaitu pembatalan secara automatik jika ia tidak digunakan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh kelulusannya, yang mana kelonggaran tersebut telah berkuatkuasa sejak 5 Jun 2020.

 

Kelonggaran syarat ini adalah untuk memudahkan pentadbiran dan pengawalan seliaan syarikat-syarikat penerbangan, termasuk membolehkan mereka untuk terus memegang portfolio ATR sedia ada yang aktif. 

 

Ini juga menandakan suku tahun kedua berturut-turut tanpa sebarang ATR yang tamat tempoh. - DagangNews.com