MyTelehaus, Cyberview tandatangani perjanjian S&P bangunkan pusat data baharu | DagangNews Skip to main content

MyTelehaus, Cyberview tandatangani perjanjian S&P bangunkan pusat data baharu

(Dari kiri) Pengarah MyTelehaus, Terry Ho; Ketua Perniagaan, Bandar dan Komunikasi Cyberview, Roni Shah Mustapha; Pengarah Urusan Cyberview, Najib Ibrahim; Pengarah CBS Land 7 Sdn. Bhd., Izatul Arini dan Pengurus MyTelehaus, Wong Kok Fong.

(Dari kiri) Pengarah MyTelehaus, Terry Ho; Ketua Perniagaan, Bandar dan Komunikasi Cyberview, Roni Shah Mustapha; Pengarah Urusan Cyberview, Najib Ibrahim; Pengarah CBS Land 7 Sdn. Bhd., Izatul Arini dan Pengurus MyTelehaus, Wong Kok Fong.
 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Penyedia pusat data tempatan, MyTelehaus Data Centers Sdn. Bhd. (MyTelehaus) menandatangani perjanjian jual beli (S&P) dengan syarikat pemaju hab teknologi Cyberjaya, Cyberview Sdn. Bhd. (Cyberview) untuk membeli sebidang tanah seluas 1.72 ekar di Cyberjaya dengan pengembangan masa hadapan di plot lain seluas 1.96 ekar.

 

MyTelehaus dalam kenyataan bersama Cyberview berkata, pembelian tersebut adalah untuk membangunkan dua pusat data baharu.

 

Pengarah MyTelehaus, Terry Ho berkata, keputusan pihaknya untuk berkembang dengan lebih jauh dan membangunkan pusat data baharu didorong oleh keperluan pengguna tempatan dan luar negara untuk meningkatkan kapasiti teknologi.

 

"Kami telah berkembang dengan pesat sejak bermula lapan tahun lalu di Cyberjaya.

 

"Tidak lupa juga kepada sokongan padu yang diterima dari kerajaan dan Cyberview yang telah menyumbang kepada pertumbuhan dan rancangan kami ke hadapan," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

MyTelehaus merancang untuk membina pusat data berskala hiper hingga 20MW dengan pengembangan pusat data lain pada masa hadapan.

 

Pembinaan pusat data berkenaan akan bermula pada awal 2021.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Cyberview, Najib Ibrahim berkata, pihaknya melihat beberapa pengumuman pembinaan pusat data baharu oleh tempatan dan MNC di Cyberjaya yang merupakan hasil daripada usaha peningkatan transformasi digital.

 

"Normal baharu bagi syarikat bukan sahaja membangunkan dan meningkatkan kapasiti mereka, tetapi meneroka inovatif untuk merebut peluang baharu dan penciptaan nilai bagi pelanggan mereka.

 

"Kami gembira kerana MyTelehaus berkembang dengan lebih jauh dan mendapat manfaat daripada ekosistem Cyberjaya yang menarik," jelasnya lagi. - DagangNews.com