Nahas Elmina: Rakaman suara berjaya diperoleh | DagangNews Skip to main content

Nahas Elmina: Rakaman suara berjaya diperoleh

PUTRAJAYA 29 Ogos - Rakaman suara 30 minit dalam komponen 'memory puck' pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu, berjaya diperoleh di makmal di Florida, Amerika Syarikat (AS) pada 28 September 2023.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata hasil daripada ekstrak itu, Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU) berhasil mendapatkan rakaman suara yang jelas serta berada dalam keadaan baik.

 

"Mengenai nahas pesawat di Elmina, jurutera di sana (Florida) membantu mendapatkan data, dan hasilnya data itu berjaya diekstrak daripada 'memory puck' semalam.

 

"Jadi, semua rakaman suara dalam pesawat terutama 30 minit terakhir sebelum sehingga nahas itu berlaku, berjaya dimuat turun," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini, menurut Berita Harian.


Data rakaman suara yang berada dalam komponen 'memory puck' pesawat malang itu, akan diekstrak di makmal dekat Florida, AS selepas gagal berbuat demikian menerusi bantuan makmal teknikal di Singapura.

 

Pasukan BSKU kemudiannya berlepas ke Florida bagi mendapatkan bantuan mengekstrak data daripada pengilang peralatan asal (OEM) yang mengeluarkan kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat terbabit iaitu syarikat L3Harris.


 

tnb

 


Rakaman suara itu sudah dihantar semula ke Malaysia dan kini sedang dianalisis oleh pasukan BSKU di ibu negara.

 

Bagaimanapun, katanya rakaman suara itu dihantar pulang ke Malaysia menerusi e-mel kerana pasukan BSKU di sana tidak dapat berlepas pulang disebabkan taufan yang sedang melanda Florida.

 

"Pasukan (BSKU) berdepan kesukaran untuk pulang ke Malaysia kerana ketika ini berlaku taufan di Florida, jadi mereka masih berada di sana dan sepatutnya mereka berlepas pulang selepas data diekstrak tetapi mereka tidak boleh berbuat demikian.

 

"Namun data itu sudah dihantar pulang menerusi sistem e-mel yang selamat dan kita sudah memiliki rakaman suara terbabit di Malaysia, walaupun ia tidak dibawa pulang secara fizikal," katanya.


 

tnb

 

elmina

 


Langkah seterusnya selepas mendapatkan data terbabit ialah melakukan analisis dan menghasilkan transkrip daripada rakaman suara berkenaan.

 

Sehubungan itu, kerajaan menjangkakan laporan awal berhubung nahas pesawat terbabit dapat dikeluarkan dan dipaparkan di laman web Kementerian Pengangkutan kira-kira dua minggu lagi.

 

"Saya tidak mahu membuat sebarang rumusan sekarang ini dan bukan untuk saya membuat rumusan itu. Walaupun pihak BSKU ada memberikan sedikit rumusan, saya tidak mahu membuat apa-apa pengumuman atau spekulasi.

 

"Biar pakar kita membuat analisis secara terperinci supaya laporan awal dapat dikeluarkan terlebih dahulu dan saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan sehingga pihak BSKU membuat laporan mereka," katanya.

 

Dalam insiden pada jam 2.50 petang 17 Ogos lalu, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 terhempas di Bandar Elmina dekat Shah Alam.

 

Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.

 

Dalam tragedi itu, EXCO Kerajaan Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan terkorban dalam nahas pesawat berkenaan. - DagangNews.com