KUALA LUMPUR 11 Julai - Nextgreen Global Bhd (NGGB) mengumumkan Yuwang Plantation Sdn Bhd sebagai pemegang saham yang penting dengan pengambilalihan 55.0 juta saham, bersamaan dengan 5.4% kepentingan.
Pemaju taman tekologi hijau itu turut terlibat dalam sektor pembuatan, percetakan dan penerbitan.
Nextgreen mengusahakan taman perindustrian untuk industri pulpa dan kertas di peringkat huluan dan hiliran.
Taman teknologi hijau itu menyasarkan untuk mengeluarkan produk pulpa dan kertas bukan kayu daripada biojisim kelapa sawit dengan menyepadukan penemuan teknologi pertama di dunia dalam pengeluaran pulpa dan kertas dengan sisa sifar dan teknologi tenaga boleh diperbaharui.
Ditubuhkan pada 2002, Yuwang Plantation, anak syarikat Yuwang Group, mengkhusus dalam penanaman ladang kelapa sawit dan pemprosesan tandan buah segar menjadi minyak sawit mentah dan isirung sawit.
Sementara itu, ia menguruskan kira-kira 65,000 ekar ladang kelapa sawit dan 20,000 ekar ladang getah dan mengendalikan lapan kilang kelapa sawit.
"Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan Yuwang Plantation sebagai pemegang saham besar NGGB. Pelaburannya adalah bukti visi perkongsian kami untuk masa depan yang lebih hijau, dan mampan.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Yuwang Plantation untuk memajukan inisiatif kami dalam teknologi hijau dan mampan," kata Pengarah Urusan NGGB, Datuk Lim Thiam Huat dalam kenyataan hari ini.
Nextgreen Technology ditutup setengah sen lebih rendah kepada 89.5 sen sesaham hari ini, memberikannya permodalan pasaran RM908.6 juta. - DagangNews.com