Niaga hadapan Minyak Sawit Mentah dilihat menuju ke paras RM4,130 satu tan minggu ini | DagangNews Skip to main content

Niaga hadapan Minyak Sawit Mentah dilihat menuju ke paras RM4,130 satu tan minggu ini

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengekalkan trajektori menaik minggu depan berikutan permintaan kukuh dan berterusan bagi minyak sawit, khususnya dari China.

 

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata, China telah membuat pembelian besar olein kelapa sawit diluntur halus (RBD), dengan sekitar 48,000 tan dibeli untuk Oktober pada julat harga AS$899-900 setan.

 

"Begitu juga, kira-kira 144,000 tan minyak sawit RBD diniagakan pada Khamis pada AS$898-900 setan. Aktiviti yang meningkat ini dilengkapkan dengan perdagangan kira-kira 15,400 tan minyak sawit merentasi pasaran tunai China," katanya kepada Bernama, meramalkan bahawa MSM niaga hadapan akan didagangkan antara RM4,050 dan RM4,130 minggu ini.

 

Bagi minggu yang baru berakhir, niaga hadapan MSM didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berikutan aliran menaik dalam niaga hadapan minyak kacang soya di Chicago Board of Trade dan lonjakan niaga hadapan minyak sayuran China di Bursa Komoditi Dalian.

 

Pada asas mingguan, kontrak September 2023 meningkat RM6 kepada RM3,860 satu tan, Oktober 2023 menambah RM73 kepada RM3,937 dan November 2023 meningkat RM91 kepada RM3,962.

 

Disember 2023 meningkat RM104 kepada RM3,982 setan, Januari 2024 menambah RM108 kepada RM4,001 dan Februari 2024 meningkat RM106 kepada RM4,014.

 

Jumlah volum mingguan susut kepada 270,241 lot daripada 285,007 pada minggu sebelumnya dan kepentingan terbuka meningkat kepada 200,992 kontrak daripada 193,505 sebelumnya.

 

Harga MSM fizikal bagi September Selatan turun RM20 kepada RM3,880 satu tan. - DagangNews.com