KUALA LUMPUR 11 Ogos - Pelan Induk Perindustrian Kebangsaan (NIMP) 2030 akan memainkan peranan utama bagi merealisasikan sasaran Ekonomi Madani termasuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi tumpuan pelaburan selain menjadi 30 ekonomi terbesar dunia.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, ia juga akan mengangkat Malaysia ke kedudukan 12 teratas dalam daya saing global, meningkatkan bahagian tenaga kerja Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 40% menjelang 2025 dan 45% dalam tempoh 10 tahun dan perusahaan kecil dan sederhada (PKS) sebagai jaguh serantau.
Katanya, NIMP 2030 dijangka menjadi pemacu kepada transformasi industri pembuatan termasuk pemangkin utama kepada ekonomi negara, membantu meajukan ekonomi digital, mendorong sifar besih selain menjaga keselamatan dan keterangkuman.
"NIMP 2030 akan menggunakan 'pendekatan berasaskan misi' berbanding 'pendekatan berasaskan industri' bagi memastikan semua sektor berkembang maju dan insentif tidak berdasarkan nilai pelaburan semata-mata tetapi juga pelaburan yang mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.
"Misi sifar bersih NIMP2030 akan disokong oleh pelaburan hijau termasuk penggunaan dan penyimpanan (CCUS), tenaga boleh diperbaharui (RE), kenderaan elektrik (EV), tenaga hidrogen dan teknologi peralihan rendah karbon.
"Rancangan itu juga adalah untuk menggerakkan PKS ke atas rantaian bekalan nilai, untuk meningkatkan eksport produk yang lebih kompleks," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, agenda NIMP2030 adalah selaras dengan Dasar Pelaburan Baharu yang menjadikan lima sektor untuk membantu meningkatkan eksport masa depan produk yang lebih kompleks termasuk aeroangkasa, kimia & petrokimia, ekonomi digital, elektrik dan elektronik (E&E) (termasuk peranti perubatan) serta farmaseutikal.
Katanya, bagi industri E&E, antara sasaran NIMP2030 adalah untuk industri bergerak melangkaui pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar yang lebih rendah serta reka bentuk litar bersepadu (IC) bernilai tinggi.
"Bagi industri bahan kimia & petrokimia, masa depan terletak pada "bahan kimia khusus" dan Rapid di Pengerang menjadi hab utama," katanya. - DagangNews.com