NTIS tawar pembiayaan sehingga RM5 juta kepada syarikat teknologi & permulaan tempatan | DagangNews Skip to main content

NTIS tawar pembiayaan sehingga RM5 juta kepada syarikat teknologi & permulaan tempatan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Sebanyak 22 syarikat teknologi dan permulaan berpeluang menerima pembiayaan bernilai antara RM250,000 hingga RM5 juta melalui inisiatif National Sand and Innovation Sandbox (NTIS).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang berfungsi sebagai Agensi Utama dalam Sekretariat NTIS, Amiruddin Abdul Shukor berkata, selain dana yang diberikan melalui Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC),  kesemua syarikat berkenaan berpeluang mendapat akses dana, teknologi dan sokongan pengawalseliaan bagi penyelesaian peringkat permulaan sebelum membawanya ke pasaran.

"Menerusi program ini, kami ingin mencipta penyelesaian untuk meningkatkan kualiti hidup dan pendapatan rakyat, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi baharu, menarik bakat tempatan terbaik, memberi peluang dan memupuk kesejahteraan bersama, sambil mengurangkan kebergantungan pada tenaga kerja asing. 

"Kami percaya sebuah kerajaan yang didorong oleh inovasi akan membentuk masyarakat yang aktif, berdaya tahan dan berdaya saing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Technology Park Malaysia (TPM), yang juga merupakan rakan sekretariat dan audit teknologi NTIS, Dzuleira Abu Bakar berkata, pembangunan teknologi tempatan merupakan satu elemen penting bagi sesebuah negara, dan Malaysia harus perlahan-lahan beralih dari menjadi pengguna teknolog kepada  pengeluar teknologi yang kuat.

"Mengimport teknologi untuk penggunaan domestik tidak lestari dari perspektif pembangunan ekonomi atau bakat - itulah sebabnya kami memupuk lebih banyak penyelesaian yang dibangunkan secara tempatan melalui NTIS," katanya.

Tahun lalu, kerajaan membelanjakan RM100 juta melalui PENJANA ke arah inisiatif NTIS, yang meletakkan landasan agar teknologi yang dibangunkan  di Malaysia dikenali, disokong, dibiayai dan dibawa ke pasaran dengan cara yang pantas.

Tambahnya, antara Mei dan Ogos, NTIS telah bekerjasama dengan 26 kementerian bagi program Kelas Inovasi selama 12 minggu bagi merancang dan mengembangkan produk atau penyelesaian bagi membantu Malaysia menangani krisis COVID-19. -DagangNews.com