Capital A sedang berbincang dengan Airbus, Embraer dan Comac untuk beli kapal terbang baharu | DagangNews Skip to main content

Capital A sedang berbincang dengan Airbus, Embraer dan Comac untuk beli kapal terbang baharu

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Dis - Capital A Bhd dalam rundingan dengan pengeluar pesawat Airbus, Embraer dan Comac untuk membeli kapal terbang baharu sebagai sebahagian daripada strategi perkembangan operasi syarikat penerbangannya, AirAsia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes mengumumkan rancangan itu semasa sambutan Krismas AirAsia pada Isnin.

 

"Kami sedang mencari lebih banyak kapal terbang, pasukan saya akan ke Brazil dan ke Kanada untuk meninjau A220.

 

"Kami juga sedang berbincang dengan Comac di China juga. Kami memerlukan lebih banyak kapal terbang, dan kami memerlukan pesawat yang boleh menambah A321 kami," katanya.

 

Apabila ditanya mengenai jumlah kapal terbang baharu, kumpulan itu merancang untuk memperoleh, Tony berkata, ia bergantung kepada keputusan lembaga pengarah.

 

"Keputusan ini tertakluk kepada lembaga pengarah, tetapi kami sedang mempertimbang untuk membeli 100 kapal terbang, mungkin lebih," katanya.

 

Sementara itu, mengenai pelan penyusuanan semulanya, Fernandes mengesahkan AirAsia X dan AirAsia akan digabungkan menjadi satu jenama, AirAsia.

 

"Langkah seterusnya ialah menggabungkan AirAsia X dan AirAsia, jadi kami hanya mempunyai satu jenama, AirAsia. 

 

"Kami juga akan menjenamakan semula kumpulan syarikat penerbangan itu sebagai Kumpulan AirAsia. 

 

"Penggabungan ini akan menyelaraskan operasi kami dan mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran," katanya.- DagangNews.com