OCBC turunkan kadar BR, BLR & BFR mulai hari ini | DagangNews Skip to main content

OCBC turunkan kadar BR, BLR & BFR mulai hari ini

KUALA LUMPUR 13 Julai - OCBC Bank (Malaysia) Bhd. serta anak syarikatnya OCBC Al-Amin Bank Bhd. menurunkan Kadar Asas (BR), Kadar Pinjaman Asas (BLR) serta Kadar Pembiayaan Asas (BFR) sebanyak 0.25% berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin berkata, penurunan tersebut adalah sejajar dengan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 0.25% seperti diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Semua kadar pinjaman dan pembiayaan berdasarkan kepada BR, BLR dan BFR akan diturunkan mengikut kadar yang sama.

"Begitu juga dengan semua deposit tetap konvensional dan kadar deposit Islam yang turut diturunkan 0.25% hari ini," jelas kenyataan itu.

7 Julai lalu, BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) membuat keputusan untuk menurunkan kadar OPR sebanyak 0.25% kepada 1.75%.

OCBC bank

Penurunan OPR yang menjadi penanda aras rujukan kadar pinjaman tempatan berada pada paras terendah dalam sejarah yang mengheret kepada pengurangan kadar siling dan lantai koridor OPR kepada 2.00% dan 1.50%.

Bank Negara sebelum ini turut memberitahu, kadar penurunan tersebut disebabkan impak penularan COVID-19 yang menghimpit ekonomi global.

Susulan itu juga, landskap ekonomi global kekal lemah dengan pertumbuhan global yang diunjurkan negatif pada tahun ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ekoran penurunan berkenaan, BR OCBC Malaysia diturunkan daripada 2.83% kepada 2.58% manakala BLR/BFR daripada 5.76% kepada 5.51%.

"Pelaksanaan penuh penurunan untuk kali keempat tahun ini akan memberi manfaat kepada semua pelanggan OCBC Malaysia yang mempunyai pinjaman atau pembiayaan yang ditambat pada BR,BLR atau BFR,". ujarnya. - DagangNews.com