Operasi FPSO Kraken kembali normal, Kenanga Research positif terhadap prospek Bumi Armada | DagangNews Skip to main content

Operasi FPSO Kraken kembali normal, Kenanga Research positif terhadap prospek Bumi Armada

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Kenanga Research positif terhadap prospek Bumi Armada Berhad terutama selepas kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Kraken dijangka kembali normal dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh penutupannya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perkara itu sekali gus memberi gambaran jelas terhadap operasi sebenar Kraken yang sebelum ini dibayangi tidak kepastian.

 

Pada 2 Jun lalu, Bumi Armada mengumumkan bahawa FPSO Kraken telah mengalami penutupan pengeluaran disebabkan kegagalan mendadak transformer pam tenggelam hidraulik (HSP).

 

Pada 21 Jun 2023, FPSO Kraken mencapai permulaan dan dapat beroperasi pada kira-kira 60% daripada tahap sebelum penutupan.

 

Kira-kira sebulan selepas itu, pada 20 Julai 2023, satu HSP telah dipulihkan dan dipasang semula menyebabkan operasi kapal telah dipulihkan sebahagiannya kepada 90% daripada tahap para penutupan.

 

"Bumi Armada akan memasang HSP baharu berikutan anggaran ketibaannya pada September ini dan ia akan menambah kepada tiga transformer HSP yang berfungsi untuk meningkatkan kebolehpercayaan kapal," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan menyukai Bumi Armada kerana daya tarikan dalam usaha mengurangkan penggearan bersihnya, keterlihatan pendatan jangka panjang daripada tempahan besar melebihi RM20 bilion dan merupakan pesaing utama untuk kontrak EPCC FPSO Cameia bernilai AS$1 bilion.

 

Terdapat juga beberapa kebimbangan termasuk kemungkinan kesan kewangan yang timbul daripada penutupan ini akan menjadi lebih besar daripada yang dijangkakan selain kos pembaikan dan penyelenggaraan kapal yang besar tidak akan dilindungi sepenuhnya oleh insurans dan pelanggan boleh meminta untuk pembayaran balik kewangan atau mengenakan penalti.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 62 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com