KUALA LUMPUR 11 Julai – Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalam (OPR) dijangka dapat mengurangkan ketidakpastian sektor swasta.
Bagaimanapun dasar pengembangan kerajaan, termasuk dasar fiskal sangat diperlukan selepas ini bagi memberi kesan kepada sektor swasta dan tindakan mereka, kata penganalisis ekonomi, Muhammad Ridhuan Bos Abdullah.
Beliau yang merupakan pensyarah kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia berkata, dasar BNM yang konsisten membolehkan jangkaan sektor swasta lebih jelas dan tepat dan ini membantu pasaran serta ekonomi untuk terus pulih atau tumbuh lebih pantas.
"Ia mengurangkan ketidakpastian sektor swasta atau dalam bahasa yang mudah, dasar penstabilan akan menjadi lebih berkesan. Berpandukan beberapa petunjuk kesan sektor luaran dan petunjuk domestik yang perlu disokong, saya berpandangan bahawa langkah BNM ini adalah konsisten," beliau memberitahu DagangNews.
Ridhuan Bos turut menekankan bahawa pada masa yang sama pengekalan OPR pada tahap tiga peratus akan mewujudkan kesan tukar ganti diantara sasaran pengangguran dan inflasi.
"Pengekalan OPR tersebut dijangka akan mengekang kadar inflasi, bagaimanapun ia memberi kesan kepada peningkatan pengeluaran (output) yang minimum.
“Terdahulu apabila BNM mengumumkan kadar 3% pada suku lepas, ia menyebabkan wujud jangkaan output akan meningkat dan dalam pasaran modal akan pulih," jelas beliau.
Beliau menjelaskan lagi bahawa melihat dari sudut permintaan agregat (makroekonomi), langkah BNM tersebut akan memacu pertumbuhan dalam permintaan agregat atau peningkatan tingkat output, seterusnya memberi kesan kepada ekonomi.
"Ini boleh dilihat menerusi beberapa petunjuk seperti peningkatan jualan kereta atau kadar kredit yang diberikan oleh pihak institusi kewangan, di mana mengikut teori, bank pusat bukan hanya menggunakan kadar bunga sahaja untuk mengawal penawaran wang.
“Namun bank pusat boleh melakukan operasi pasaran terbuka (OMO) dengan membeli sekuriti kerajaan daripada bank. Justeru bank akan mendapat lebihan dana untuk dipinjamkan atau penciptaan kredit," jelas beliau lagi.
"Ia dilihat akan menggalakkan pemberian kredit, namun ia juga bergantung kepada bank untuk memberi kredit," beliau berkata, sambil menekankan bahawa keberkesanan dasar monetari hanya dapat diukur selepas tempoh tertentu.
Terdahulu, Presiden Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) Mohd Muazzam Mohamed menjelaskan bahawa pendirian yang konsisten oleh BNM dalam menentukan dasar monetari dan OPR adalah berorientasikan ke hadapan dan berdasarkan pelbagai data dan petunjuk, termasuk pergerakan Indeks Harga Pengguna (IHP), pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), aktiviti ekonomi, dan kadar pengangguran, antara lain.
"Keputusan ini di buat selepas penilaian menyeluruh terhadap keadaan ekonomi semasa dan selaras dengan objektif bank untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan seimbang dan mengekalkan kadar inflasi yang rendah dan stabil," kata beliau dalam satu kenyataan. - DagangNews.com