Keraguan pelaksanaan halal boleh diatasi secara  ‘al-yakin la yuzalu bisyak’ | DagangNews Skip to main content

Keraguan pelaksanaan halal boleh diatasi secara  ‘al-yakin la yuzalu bisyak’

Oleh Dr Zuraimy Ali

Pelaksanaan pensijilan halal perlu dipermudahkan oleh agensi yang berkaitan manakala pencerahan tentang kepentingan produk halal perlu dipromosikan secara meluas.

 

Keraguan segelintir pihak terhadap pelaksanaan tersebut perlu diatasi menerusi kaedah ‘al-yakin la yuzalu bisyak’ (keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan keraguan).

 

Keyakinan yang diasaskan oleh Anwar Ibrahim terhadap keupayaan membuat anjakan paradigma ekonomi MADANI perlu sentiasa hadir dalam setiap hati rakyat Malaysia.

 

Marcapada dilihat kian berdepan dengan situasi yang mencabar dan penuh dengan ketidakpastian sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau membicarakan ‘post normal time’ dalam dunia yang diselimuti dengan 3C 'chaos’, ‘complexity’ dan ‘contradictions’ memerlukan pakar sarjana Islam menjana idea bagi mengukuhkan pasaran produk halal dan kewangan Islam.

 

 

Dr Zuraimy Ali
                  Dr Zuraimy Ali

 

 

Ia boleh dilaksanakan menerusi kerjasama dan hubungan perdagangan pelbagai negara luar memandangkan permintaan terhadap produk halal dan kewangan Islam dilihat berpotensi untuk memperkukuhkan ekonomi MADANI di dalam negara.

 

Justeru, peluang yang ada tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja tanpa ada satu usaha untuk menggerakkan pengeluaran produk halal ke persada dunia di samping mengetengahkan instrumen kewangan Islam yang lebih mesra pelabur dan paling penting mengukuhkan nilai mata wang ringgit di pasaran.

 

Berkait dengan produk halal telah jelas dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah ayat 168).

 

Islam merupakan agama yang sentiasa tegas dalam hal yang terkait dengan pemakanan terutamanya melibatkan makanan halal dan turut menekankan tentang pemakanan yang baik meliputi penjagaan kebersihan, piawaian kesihatan, pelaksanaan penyediaan, bahan ramuan produk dan lain-lain lagi.

 

Adalah penting melihat keseluruhan produk halal dengan mengambil kira kualiti hasil produk bagi memastikan jaminan tersebut memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh pihak pengeluar sijil halal seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 

Manakala bagi instrumen kewangan Islam pula dilihat berpotensi menjadi satu tatanan baharu dengan memastikan pengukuhan nilai ringgit sentiasa kekal terjamin.

 

Ini merupakan salah satu objektif sistem kewangan Islam perlu dilaksanakan secara bersama bagi memastikan serangan terhadap nilai ringgit disebabkan oleh kejatuhan dollar Amerika tidak merencatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

 

Oleh itu, pelaksanaan bagi mengukuhkan nilai ringgit melalui instrumen kewangan Islam perlu diberikan sokongan sewajarnya dengan melihat kepada pasaran dan kerjasama perdagangan dengan negara luar.

 

 

hikayat

 

 

Instrumen kewangan Islam mampu menjadi alternatif kepada sistem kewangan konvensional yang lebih kepada memberi keuntungan kepada pemodal.

 

Dibandingkan instrumen kewangan Islam yang lebih menjamin nilai mata wang negara dengan memastikan perdagangan menggunakan mata wang ringgit melalui perjanjian persefahaman di antara negara perdagangan.

 

Kebergantungan ringgit tidak lagi mengikat kepada dolar Amerika Syarikat semata-mata tetapi mampu memberikan pulangan tinggi terhadap nilai eksport dan import negara yang menggunakan pertukaran nilai ringgit.

 

Hal ini jelas terbukti melalui hadis yang berbunyi daripada 'Urwah bahawa Nabi S.A.W memberinya satu dinar untuk dibelikan seekor kambing, dengan wang itu ‘Urwah membeli dua ekor kambing, kemudian salah satunya dijual dengan harga satu dinar, lalu dia menemui baginda dengan membawa seekor kambing dan wang satu dinar. Maka baginda S.A.W mendoakan ‘Urwah keberkatan dalam jual belinya itu". Sungguh dia apabila berdagang debu sekalipun, pasti mendapat untung”. (Riwayat Bukhari).

 

Menurut Ibnu Hajar memang sebelumnya ‘Urwah berhasil membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar tetapi beliau menjual salah satu kambing tersebut dengan harga sedinar. Ini menunjukkan kebijaksanaan beliau dalam berjual beli sehingga Rasulullah S.A.W memuji dan memohon keberkatan daripada jual belinya.

 

Justeru, instrumen kewangan Islam juga memberikan perhatian terhadap perjanjian dan hubungan kerjasama negara luar bagi memastikan nilai mata wang mampu mengukuh dan memberikan pulangan yang luar biasa terhadap ekonomi negara.

 

Malaysia yang memiliki kekuatan sumber asli dan yang terkini ‘nadir bumi’ mampu memberikan pulangan yang tinggi terhadap pendapatan negara dengan kerjasama yang terbentuk melalui perjanjian persefahaman.

 

Oleh itu, instrumen kewangan Islam melalui perjanjian sangat penting bagi menjamin segala kekuatan sumber asli yang ada mampu menjana pulangan lumayan buat negara.

 

Akhirul kalam, Kerajaan Perpaduan Malaysia pada hari ini telah mengambil langkah yang tepat bagi memastikan produk halal dan instrumen kewangan Islam menjadi pemacu pasaran global.

 

Usaha ini sewajarnya diberikan dokongan dan sokongan yang kukuh semua rakyat dan perlu kepada tindakan segera kerajaan perpaduan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi domestik dapat ‘mendunia’ dan seterusnya mengangkat produk halal keluaran negara ke pelosok dunia. - DagangNews.com

 

 

Dr. Zuraimy Ali merupakan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis