Pasca PRN: Tumpu kepada agenda reformasi ekonomi jangka panjang, Bajet 2024 terutamanya EV – pakar | DagangNews Skip to main content

Pasca PRN: Tumpu kepada agenda reformasi ekonomi jangka panjang, Bajet 2024 terutamanya EV – pakar

Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 membabitkan enam negeri telah selesai dan kini, tumpuan penuh harus diberikan kepada agenda reformasi jangka panjang dan Bajet 2024 pada Oktober ini terutamanya dalam membangunkan industri kenderaan elektrik (EV) negara, kata Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Profesor Geoffrey Williams.

 

Beliau berkata peraturan industri dan cukai berkaitan EV perlu dilihat semula dalam memacu pembangunan EV dan memastikan Malaysia kekal kompetitif di peringkat serantau.

 

“Malaysia perlu melihat pasaran kenderaan elektrik (EV) yang lebih besar, menyasarkan pasaran antarabangsa dan melangkau pasaran domestik jika mahu mengembangkan pasaran EV negara di samping melibatkan diri dalam rantaian EV serantau,” kata beliau.

 

Pada ketika ini, Malaysia menawarkan insentif pengecualian cukai untuk meningkatkan industri EV di dalam negara di samping sasaran pemasangan 10,000 unit pengecasan EV menjelang 2025, manakala negara serantau Indonesia mempromosikan industri EV melalui cukai sifar.

 

Indonesia dikatakan merancang lebih banyak insentif cukai untuk menarik pengeluar EV global, berusaha untuk meningkatkan daya tarikannya bagi pengeluar terkemuka, termasuk Tesla Inc dan BYD Co.


 

Profesor Geoffrey Williams
                         Profesor Geoffrey Williams

 


Williams berkata Malaysia mempunyai industri automotif yang mantap yang telah bertambah baik dari semasa ke semasa terutamanya melalui usaha sama dengan pemain antarabangsa seperti Proton-Geely atau UMW-Toyota, bagaimanapun disebabkan oleh pasaran domestik yang kecil, Malaysia perlu memandang lebih dari pasaran tempatan.

 

"Sektor EV memerlukan kemahiran semula dan penggunaan teknologi baharu dan ia sudah tentu melibatkan pelaburan tambahan yang hampir pasti memerlukan lebih banyak pelaburan asing (FDI), jadi untuk menarik FDI dan mendapatkan akses kepada pasaran asing, Malaysia harus beralih ke pasaran yang lebih besar dan sentiasa menambah baik peraturan dan meliberalisasikan akses pasaran automotif.

 

"Berbanding dengan negara lain Malaysia mempunyai beberapa kelebihan termasuklah mempunyai sumber mineral yang diperlukan dalam industri EV tetapi kelemahan terbesar ialah saiz dan skala pasaran. Indonesia adalah sembilan kali lebih besar dalam populasi jadi mempunyai lebih banyak pilihan untuk skala ekonomi,” beliau memberitahu DagangNews.

 

Menyentuh mengenai kelebihan negara, Williams berkata sumber mineral untuk membangunkan EV adalah kelebihan penting tetapi pelaburan diperlukan untuk mengeluarkan sumber tersebut, kos alam sekitar perlu diambil kira.

 

Malaysia menyasar untuk mencapai 15% daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) disumbangkan oleh kenderaan elektrik, EV dan hibrid menjelang 2030, dan 38% daripada TIV pada 2040.

 

Beliau turut menjelaskan bahawa saiz dan skala pasaran Malaysia bukan sahaja menjejaskan pengeluaran automotif kenderaan tetapi juga isu rantaian bekalan dalam bahagian dan pemasangan serta dalam perkhidmatan selepas jualan, penyelenggaraan dan sokongan pelanggan.

 

"Sebagai contoh, pelaburan terbaru oleh Volkswagen dalam hab rantaian bekalan di Johor membantu kedudukan Malaysia tetapi ia adalah operasi perkhidmatan dan bukannya operasi pengeluaran dan ia sangat automatik sehingga tidak mewujudkan banyak pekerjaan," kata beliau lagi.


 

parafrasa

 


Beliau menjelaskan bahawa manfaat yang diterima Malaysia dalam konteks tersebut adalah terhad disebabkan oleh isu saiz asas walaupun operasi rantaian bekalan berpusat di sini.

 

"Di samping itu, pemilikan industri ini antara syarikat Malaysia dan pelabur asing perlu seimbang dan peluang datang dengan cabaran. Pendekatan yang lebih liberal terhadap pemilikan serta pendekatan yang lebih liberal terhadap peraturan alam sekitar boleh membantu Malaysia untuk menjadi kuasa EV serantau," katanya lagi.

 

Pada 18 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Geely akan membuat pelaburan besar iaitu kira-kira RM45 bilion, untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai bandar auto terbesar di rantau ini. - DagangNews.com