PEDi Transformasi Digital Malaysia : Dari Akses Internet ke Peluang Keusahawanan | DagangNews Skip to main content

PEDi Transformasi Digital Malaysia : Dari Akses Internet ke Peluang Keusahawanan

Oleh Mohd Hanif Mohd Omar

SEJAK penubuhannya pada tahun 2007, Pusat Ekonomi Digital (PEDi) telah memainkan peranan penting dalam memperkasakan komuniti setempat melalui teknologi dan pendidikan digital.

 

Di bawah naungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), inisiatif ini telah membuktikan bahawa akses dan latihan digital adalah kunci untuk melibatkan semua lapisan masyarakat dalam revolusi digital.

 

Dalam 16 tahun operasinya, PEDi telah berkembang dari Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK), ke Pusat Internet 1Malaysia (PI1M), dan seterusnya ke Pusat Ekonomi Digital yang kita kenali hari ini.

 

Perjalanan ini mencerminkan evolusi dan penyesuaian program PEDi dalam memenuhi keperluan komuniti setempat. Terutamanya, penyediaan capaian internet di kawasan kurang liputan, melalui kaedah ini ia dapat menjadikan teknologi maklumat itu lebih bersifat inklusif.

 

Pusat-pusat ini dilengkapi dengan komputer dan akses internet, dan berfungsi sebagai ekosistem pembelajaran dan peluang yang bertenaga untuk komuniti setempat yang pada satu ketika dunia digital seolah-olah berada di luar mereka.

 

PEDi menyediakan akses internet dan perkhidmatan nilai tambah kepada populasi 18.9 juta dalam radius 5km. Pusat-pusat ini telah terbukti sangat bermanfaat kepada masyarakat, dengan rekod 1.3 juta rakyat Malaysia menggunakan pusat tersebut.


 

mohd hanif mohd omar
Mohd Hanif Mohd Omar

 


Sebagai mengiktiraf kepentingan pendigitalan yang semakin signifikan, PEDi menawarkan latihan keusahawanan digital sebagai batu loncatan dalam mempercepat ekonomi digital.

 

Latihan dan ilmu kepada komuniti ini dilihat sangat penting sejajar kepada transformasi untuk memacu pembangunan ekonomi digital negara selaras dengan aspirasi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

 

Sekiranya masyarakat tidak di berikan pengetahuan berkemungkinan masalah di Indonesia boleh berlaku di Malaysia, keputusan untuk menutup Tiktok Shop oleh kerajaan Indonesia telah diambil bertujuan untuk melindungi peniaga tempatan dan perusahaan kecil daripada persaingan yang berpotensi tidak adil di platform e-dagang yang besar.

 

Walau bagaimanapun, keputusan ini dilihat boleh menghalang kepada proses inovasi dan memberi kesan kepada peniaga dan pengguna yang bergantung pada platform TikTok.

 

Dalam hal kawal selia seperti ini sepatutnya kata sepakat perlu dicapai dengan objektif utama adalah untuk memupuk inovasi teknologi dan perdagangan digital serta melindungi sosio ekonomi dan sosio budaya masyarakat tempatan.

 

Seminar PEDi Madani 2023 yang dilaksanakan merupakan satu platform yang tepat sebagai bukti kerajaan mengiktiraf dan menyokong masyarakat komuniti agar lebih terdedah kepada ilmu pendigitalan operasi harian seperti e-wallet, e-dagang dan pemasaran atas talian. Pemerkasaan ilmu dan membaca data juga dilihat sangat penting untuk usahawan-usahawan PEDi.


 

parafrasa


 


Peranan MCMC menggabungkan setiap perananan dari agensi kerajaan dan pemain-pemain industri di seminar ini seperti MDEC, TEKUN Nasional, Matrade, Shopee, TikTok Shop Malaysia, GD Ekspres, Microsoft Malaysia, Google Malaysia, Paynet, ProtechHealth, Maxis Berhad, Fefifo dan lain-lain juga dilihat dapat membantu usahawan-usahawan PEDi untuk berkembang dengan lebih baik dan lebih cepat dalam mencari titik persamaan bagi meningkatkan permintaan komuniti.

 

Kesan daripada ini, dijangka dapat merubah landskap sosioekonomi negara kearah yang lebih baik dengan peningkatan hasil pendapatan negara pada masa 5 tahun akan datang.

 

Oleh yang demikian masyarakat di luar sana rebutlah peluang, berkunjunglah ke Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di kawasan anda bagi melihat dan mendapatkan sendiri perkhidmatan serta peluang keusahawanan.


 

PEDi

 


PEDi bukan hanya sekadar pusat akses internet, tetapi juga platform dinamis yang menggalakkan inovasi dan keusahawanan dalam kalangan masyarakat.

 

Kesinambungan dan peningkatan ini menjanjikan era baharu untuk ekonomi digital Malaysia, dengan fokus pada pembangunan modal insan dan penguatan komuniti. - DagangNews.com

 
Mohd Hanif Bin Mohd Omar adalah Pengajar Pemasaran Digital yang juga Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka